PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak boleh bergerak secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya perlu membuka ruang kerjasama dengan parti lain bagi mengelakkan perpecahan undi.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, semua parti perlu melihat kepentingan membentuk kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya di Melaka.
Beliau berkata, PH perlu mempertimbangkan pelbagai pilihan sekiranya tidak meneruskan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN).
“Kita memang membuat persediaan dalam pelbagai opsyen. Kalau tiada siapa yang bersedia untuk bekerjasama dengan kita, apa lagi pilihan yang kita ada?
“Bagi saya dari sudut politik pilihan raya ini, seharusnya PH kalau tidak bersama BN, maka PH boleh membuka ruang untuk pihak-pihak lain yang ada lagi untuk menjalin kerjasama.
“Yang penting, parti lain yang juga berhasrat untuk menyertai pilihan raya, mereka harus sedar bahawa politik Malaysia ini memerlukan apa nama politik kebersamaan semua.
“Kita tak boleh pergi solo. Kalau pergi solo, akhirnya kita akan membuka ruang kepada pihak yang kita tidak ingin itu untuk menang dalam pilihan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini belum ada rundingan dengan BN berhubung kerjasama menghadapi PRN Melaka walaupun hubungan antara kedua-dua pihak telah terjalin.
Amirudin berkata, PH tmenyediakan beberapa senario termasuk kemungkinan membentuk jajaran politik baharu atau mengadakan persefahaman pilihan raya dengan parti tertentu.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, antara parti yang boleh membuka ruang perbincangan termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta parti-parti lain yang mempunyai hasrat bertanding.
“Saya percaya ada lagi parti-parti yang lain sama ada Bersatu, Pejuang dan pelbagai parti yang berhasrat untuk bertanding.
“Seharusnya elok bagi saya mereka harus berfikir bagaimana jalinan kerjasama antara semua parti yang ada ini untuk bersama pada pilihan raya di Melaka,” katanya.-UTUSAN











