GAJAH tidak pernah mengenal sempadan ladang, jalan raya atau kawasan penempatan manusia. Namun apabila hutan yang selama ini menjadi ruang hidupnya semakin berubah, pertembungan dengan manusia menjadi semakin sukar dielakkan.
Dua tragedi yang berlaku di Kelantan tahun ini seharusnya mengundang renungan lebih besar daripada sekadar persoalan bagaimana untuk menghalau gajah liar.
Pada 14 Mei lalu, seorang buruh ditemukan maut dipercayai dipijak sekumpulan gajah yang mengamuk di kawasan tepi sungai berhampiran ladang getah di Jalan Ladang Serasa.
Terbaharu, pada 9 September lalu, usaha seorang lelaki mencari lembunya yang baharu dibeli selepas hilang berakhir tragedi apabila dia maut diserang gajah di kawasan Ladang Lepan Kabu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, Ghazali Setapa, 66, maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.
SALAH GAJAH?
Dua kejadian ini mungkin kelihatan sebagai tragedi berasingan. Namun apabila ia berlaku dalam tempoh beberapa bulan, persoalan yang lebih besar perlu ditanya: Mengapa pertembungan manusia dengan gajah liar terus berlaku?
Jawapannya tidak semudah menyalahkan gajah. Gajah tidak tiba-tiba menjadi ganas tanpa sebab. Apabila habitatnya terganggu, sumber makanan berkurangan atau laluan pergerakannya terputus, haiwan itu akan bergerak mencari ruang dan makanan baharu.
Pada ketika itulah kebun, ladang, jalan dan kawasan berhampiran penempatan manusia boleh menjadi sebahagian daripada laluan yang digunakan.
Masyarakat Orang Asli sendiri kini menuntut penjelasan terbuka mengenai status Hutan Simpan Kekal (HSK) di Kelantan juga wajar diberi perhatian.
Wakil Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (Jaringan), Nor Muhammad Shafiq Dendy Abdullah, menuntut kerajaan negeri memberikan penjelasan berhubung dakwaan HSK semakin ‘botak’ akibat pembalakan dan pembukaan ladang.
Katanya, perkara itu penting kerana perubahan tersebut memberi kesan kepada masyarakat Orang Asli termasuk hidupan liar di kawasan Ulu Gua Musang.
Kerajaan negeri sebelum ini telah mewartakan 778,000 hektar sebagai kawasan HSK yang didakwa masih dikekalkan. Persoalannya, angka keluasan semata-mata belum tentu menggambarkan keadaan sebenar di lapangan.
Hutan yang kekal dalam rekod pewartaan tidak semestinya bermaksud setiap bahagiannya masih mempunyai fungsi ekologi yang sama.
Hutan juga memerlukan kesinambungan, koridor dan kawasan yang cukup luas untuk membolehkan hidupan liar bergerak, mencari makanan dan membiak.
Di sinilah pentingnya ketelusan. Jika HSK benar-benar kekal, masyarakat berhak mengetahui bagaimana ia dilindungi. Jika terdapat kawasan yang berubah fungsi, penjelasan perlu diberikan.
Jika pembalakan atau pembukaan ladang dibenarkan di kawasan tertentu, status dan syaratnya juga perlu jelas.
MANUSIA ATAU GAJAH
Ini bukan soal menyebelahi manusia atau gajah sebaliknya, memastikan pembangunan tidak akhirnya memaksa manusia dan hidupan liar bertembung di ruang yang sama.
Kita tidak boleh menunggu setiap kali berlaku serangan untuk bercakap mengenai gajah. Apabila gajah memasuki ladang, persoalan pertama yang sering muncul ialah bagaimana untuk menangkap, menghalau atau memindahkannya.
Sedangkan persoalan yang lebih penting ialah bagaimana memastikan gajah mempunyai habitat dan laluan yang selamat sebelum ia keluar mencari ruang baharu.
Begitu juga dengan hidupan liar lain. Harimau, beruang, babi hutan, tapir dan pelbagai spesies lain turut berdepan perubahan habitat apabila hutan semakin terpecah akibat pembangunan, pertanian, jalan raya dan aktiviti ekonomi.
KESELAMATAN, EKONOMI DAN KEMANUSIAAN
Konflik manusia-hidupan liar bukan sekadar isu pemuliharaan. Ia juga isu keselamatan, ekonomi dan kemanusiaan.
Bagi pekebun kecil, kemunculan gajah boleh menyebabkan tanaman musnah. Bagi penduduk kampung, kehadiran hidupan liar besar berhampiran rumah boleh menimbulkan ketakutan.
Bagi keluarga mangsa, serangan gajah pula meninggalkan kehilangan yang tidak mungkin diganti.
Justeru, pendekatan terhadap konflik ini perlu bergerak daripada tindakan selepas kejadian kepada pencegahan sebelum kejadian.
Pemetaan laluan gajah perlu diperkukuh. Kawasan yang menjadi koridor pergerakan hidupan liar perlu dikenal pasti dan dilindungi. Sistem amaran kepada penduduk juga perlu dipertingkatkan di kawasan yang kerap berlaku konflik.
Pada masa sama, komuniti setempat perlu diberikan pengetahuan mengenai tindakan selamat apabila berdepan gajah atau hidupan liar lain.
Yang paling penting, setiap pembangunan di kawasan berhampiran hutan perlu mengambil kira kesan terhadap habitat dan laluan hidupan liar.
Kita tidak boleh bercakap tentang pembangunan lestari jika pembangunan itu hanya mengira keluasan tanah, jumlah pelaburan dan hasil ekonomi, tetapi mengabaikan siapa yang sudah lama mendiami hutan tersebut.
TIDAK FAHAM GERAN TANAH, PAPAN TANDA
Gajah tidak memahami geran tanah. Ia tidak membaca papan tanda sempadan ladang. Ia hanya mengikut naluri dan laluan yang mungkin telah digunakan turun-temurun.
Sebab itu, setiap kali gajah muncul di pinggir ladang atau kampung, kita perlu melihatnya sebagai isyarat. Isyarat bahawa sesuatu mungkin sedang berubah di dalam hutan.
Dua kematian di Kelantan tahun ini seharusnya tidak berakhir sebagai statistik semata-mata.
Ia perlu menjadi titik tolak untuk menilai semula bagaimana hutan diurus, bagaimana koridor hidupan liar dilindungi dan bagaimana keselamatan komuniti yang tinggal berhampiran habitat haiwan liar dijamin.
Jika hutan terus mengecil atau terpecah, gajah akan terus mencari ruang. Jika ruang yang tinggal semakin hampir dengan manusia, jarak antara sebuah tragedi dengan tragedi seterusnya mungkin menjadi semakin pendek.
Selagi ruang hidup hidupan liar semakin terhad, manusia perlu bersedia mengubah cara mengurus hutan, bukan sekadar mengubah tindakan apabila tragedi sudah berlaku di lapangan.
Persoalannya bukan lagi mengapa gajah menyerang manusia? Sebaliknya, kita perlu berani bertanya: Adakah manusia masih memberi gajah ruang untuk hidup?
Jadi, marilah kita faham dan ambil iktibar dengan firman Allah dalam Al-Quran melalui surah Al-Baqarah ayat 205 yang bermaksud:
“Dan apabila ia berpangkat (atau berkuasa), ia berusaha melakukan kerosakan di bumi, dan membinasakan tanaman-tanaman dan baka keturunan (binatang ternak & manusia). Dan Allah tidak suka kepada kerosakan.” – UTUSAN
Kor guanor?
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Kelantan.











