KUALA LUMPUR: Lebih 2,000 notis kompaun dikeluarkan terhadap majikan sejak Julai lalu ekoran kegagalan mendaftarkan perniagaan atau pekerja dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), selain gagal membuat caruman wajib.
Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Perkeso, Azirruan Arifin berkata, notis berkenaan membabitkan kesalahan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, Akta Sistem Insurans Pekerjaan dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
Beliau berkata, menerusi Op Kesan 2.0 yang dijalankan hari ini, sebanyak 159 pemeriksaan penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negara, dengan 14 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berkaitan
“Jumlah ini dijangka meningkat sehingga operasi berakhir pada pukul 6 petang,” katanya kepada pemberita dalam operasi di sekitar Pasar Seni hari ini.
Selain itu, operasi turut diadakan di sekitar Lembah Klang seperti Brickfields, Pudu dan Bandar Baru Ampang.
Dalam pada itu Azirruan berkata, antara alasan paling kerap diberikan majikan kerana tidak mencarum ialah mereka tidak mengetahui bahawa ia merupakan satu kewajipan.
“Ada juga kes pekerja sendiri meminta majikan supaya tidak membuat caruman,” katanya.
Seramai 300 pegawai daripada 54 pejabat Perkeso di seluruh negara terbabit dalam operasi itu yang menyasarkan majikan, penyedia platform dan pekerja sendiri, antara lain.
Dalam pada itu beliau berkata, sejak 2020, sebanyak 25,011 notis kompaun berjumlah RM15 juta telah dikeluarkan terhadap majikan kerana gagal mendaftarkan perniagaan atau pekerja dengan Perkeso
Dalam tempoh sama, sebanyak 21,177 kes turut dibawa ke mahkamah atas pelbagai kesalahan.
Mengikut peruntukan undang-undang semasa, majikan yang gagal mematuhi ketetapan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.
Azirruan turut menegaskan kepentingan membuat caruman Perkeso kerana kejadian tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Manfaat yang disediakan bukan sahaja untuk pekerja sekiranya mereka berdepan situasi tidak diingini, tetapi juga untuk keluarga mereka.
“Pekerja juga perlu mengetahui hak mereka, termasuk hak untuk mendapat perlindungan keselamatan sosial,” katanya.
Beliau turut menggesa individu yang tidak mendapat perlindungan Perkeso supaya membuat aduan kepada pejabat agensi itu yang berdekatan.
“Kami akan menjalankan pemeriksaan di lokasi dan memastikan pekerja berkenaan menerima caruman mereka,” katanya.
Azirruan berkata, identiti pengadu juga akan dirahsiakan.
Dalam pada itu, beliau berkata Perkeso bekerjasama rapat dengan kedutaan dan agensi berkaitan bagi memastikan pekerja asing turut mendapat caruman yang sewajarnya.
Mengenai perkara berkaitan, Azirruan berkata penyedia platform juga perlu memastikan pendaftaran dan caruman bagi pekerja gig dilaksanakan secara teratur seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pekerja Gig.
Beliau berkata, setakat ini seramai 1.17 juta pekerja gig telah didaftarkan.
“Penguatkuasaan akan bermula pada 1 Oktober,” katanya. – UTUSAN










