Kanak-kanak hasil animasi seksual guna AI sebelum jual - Utusan Malaysia

Kanak-kanak hasil animasi seksual guna AI sebelum jual

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang kanak perempuan berusia 13 tahun antara lapan remaja bawah umur yang dikesan menyimpan, menjual dan menghasilkan animasi seksual sebelum dijual dalam laman sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kanak-kanak terbabit dikesan menghasilkan bahan berbentuk animasi untuk dijual dalam komuniti dalam talian.

Katanya, kanak-kanak terbabit tidak berada dalam satu kumpulan sebaliknya bergerak dalam kelompok kecil di alam maya yang mempunyai minat dan kecenderungan sama.

“Sebahagian daripada mereka menghasilkan animasi sendiri dijual kepada individu dalam komuniti dalam talian yang mempunyai kecenderungan sama, termasuk melalui platform seperti Telegram.

“Harga jualan bahan itu pula dilaporkan sekitar RM50 hingga RM60 bergantung kepada kandungannya. Bukan nilai ini yang ingin ditekankan tetapi trend ini yang sangat membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Kumar berkata, kanak-kanak terbabit didapati mempelajari perkara berkenaan melalui pelbagai sumber dalam talian termasuk media sosial dan Internet yang turut mendedahkan mereka kepada teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat individu lain yang mendorong atau mempengaruhi kanak-kanak terbabit untuk menghasilkan atau menggunakan teknologi berkenaan.

Beliau berkata, kelompok dalam talian yang disertai mereka juga tidak semestinya melibatkan individu yang saling mengenali secara peribadi.

“Mereka tidak mengenali antara satu sama lain secara peribadi. Apabila mereka mula mengakses elemen-elemen ini, mereka akan berjumpa dengan kumpulan yang mempunyai minat dan kecenderungan yang sama,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kanak-kanak terbabit menggunakan kemudahan pembayaran digital seperti e-wallet termasuk Touch ‘n Go dan PayPal bagi urusan transaksi.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan tahap keupayaan kanak-kanak dalam menggunakan teknologi dan media sosial yang semakin tinggi, sekali gus memerlukan pemantauan berterusan daripada ibu bapa.

“Ibu bapa hanya mengetahui selepas tangkapan dibuat. Sebelum itu, mereka tidak tahu dan siasatan masih berjalan,”ujarnya.

Kumar berkata, PDRM turut menyediakan kaunselor khas bagi membimbing kanak-kanak yang terlibat, manakala tindakan lanjut akan ditentukan selepas siasatan lengkap dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Beliau berkata, tindakan terhadap kanak-kanak terbabit bergantung kepada peruntukan undang-undang mengikut kategori umur.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan termasuk Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa tindakan pemeriksaan atau serbuan polis terhadap seseorang tidak semestinya bermaksud individu terbabit merupakan suspek utama dalam sesuatu kes.

“Apabila polis membuat pemeriksaan atau serbuan, ia tidak bermakna individu tersebut terus dianggap sebagai suspek utama. 

“Kadang-kadang pemeriksaan dilakukan hanya untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi membantu siasatan secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×