Penjara mesti jadi pusat pemulihan, bukan sarang jenayah - MCW

Penjara mesti jadi pusat pemulihan, bukan sarang jenayah – MCW

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institusi penjara sepatutnya menjadi pusat pemulihan dan disiplin bukannya tempat yang memungkinkan berlakunya kegiatan jenayah termasuk pengedaran bahan terlarang.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, perkongsian bekas banduan, yang juga artis Yasin Sulaiman, mengenai kehidupannya di penjara membuka persoalan lebih besar berhubung aspek integriti, tatakelola dan kawalan keselamatan dalam institusi berkenaan.

“Perkongsian Yasin mengenai kehidupannya di penjara membuka ruang kepada satu
persoalan yang jauh lebih besar daripada pengalaman seorang bekas banduan.

“Jika benar bahan terlarang termasuk dadah masih boleh memasuki institusi yang mempunyai kawalan keselamatan ketat, persoalannya bukan sekadar bagaimana ia boleh masuk, tetapi siapa yang memungkinkan ia masuk,” katanya dalam kenyataan.

MCW berkata, dakwaan berkaitan sistem pesanan, pembayaran melalui akaun di luar penjara, kewujudan hierarki berdasarkan wang dan pengaruh serta pergerakan barangan terlarang perlu dilihat daripada sudut integriti, tatakelola dan kemungkinan berlakunya rasuah atau
penyalahgunaan kuasa.

Bagaimanapun, katanya, mana-mana pegawai atau institusi tidak boleh dihukum hanya berdasarkan perkongsian dalam audio siar, sebaliknya dakwaan berkenaan perlu disiasat secara serius dan disokong bukti.

MCW turut mempersoalkan bagaimana bahan terlarang boleh melepasi beberapa lapisan keselamatan serta sama ada audit integriti berkala dilaksanakan terhadap laluan kemasukan barangan, pelawat, kontraktor dan kakitangan.

“Bagaimana transaksi kewangan luar yang dikaitkan dengan aktiviti dalam penjara dipantau?

“Berapa banyak kes penyeludupan sudah dikesan dan berapa ramai yang telah didakwa?” katanya.

Pada masa sama, MCW mempersoalkan keberkesanan mekanisme pemberi maklumat dalam institusi penjara, khususnya sama ada ia cukup selamat untuk membolehkan pegawai berintegriti melaporkan salah laku tanpa kebimbangan terhadap tindakan balas.

Menurutnya, penjara sepatutnya menjadi tempat pemulihan, disiplin dan memberi peluang kedua kepada pesalah untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

“Jika dadah masih mudah diperoleh di sebalik tembok penjara, kita mungkin hanya memindahkan masalah dari jalan raya ke dalam institusi,” katanya.

Sehubungan itu, MCW mencadangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara, menjalankan audit integriti secara menyeluruh serta mendedahkan dapatan dan tindakan pembetulan kepada masyarakat.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan institusi penjara benar-benar berfungsi sebagai mekanisme memutuskan rantaian jenayah dan bukan menjadi sebahagian daripadanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×