Persahabatan Malaysia-Indonesia tanpa sempadan

Persahabatan Malaysia-Indonesia tanpa sempadan

AHMAD Zahid Hamidi ketika pertemuan dengan Prabowo Subianto dalam pertemuan di Istana Hambalang sempena lawatan kerjanya ke Jakarta, Indonesia. – ihsan Biro Pers, Media, dan Informasi Sekretariat Presiden.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA persahabatan yang tidak perlu banyak kata untuk membuktikan nilainya. Ia hadir ketika senang, tetapi lebih bermakna apabila tangan dihulurkan ketika sahabat berdepan kesusahan.

Begitulah warna hubungan Malaysia dan Indonesia yang sekali lagi terserlah menerusi lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Jakarta, apabila hubungan serumpun itu diterjemahkan bukan hanya melalui perbincangan diplomatik, malah tawaran bantuan ketika Indonesia berdepan kebakaran hutan dan jerebu.

Kemuncaknya, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menerima dengan terbuka tawaran Malaysia untuk membantu menangani kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan, malah menyifatkan Ahmad Zahid sebagai ‘kawan lama’ ketika menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri itu di kediamannya di Hambalang, Bogor, pada 18 September lalu.

Prabowo berkata, bantuan Malaysia itu diterima dengan gembira dan akan dihantar dalam masa terdekat, membabitkan sebuah pesawat, tiga helikopter serta 52 anggota pasukan pemadam kebakaran bagi membantu operasi menangani kebakaran berkenaan.

Bagi Malaysia, tawaran itu bukan sekadar bantuan kecemasan ketika bencana, sebaliknya mencerminkan semangat kejiranan dan persahabatan yang telah lama menjadi asas hubungan kedua-dua negara.

Ketika sesi santai makan tengah hari bersama wartawan Malaysia di sebuah restoran terkenal di Jakarta, Ahmad Zahid sempat berkongsi perbincangannya bersama orang nombor satu Kerajaan Indonesia itu sebaik tiba di kediamannya.

Seperti membawa rombongan melamar, kata-kata disusun atur, disampaikan dengan penuh takzim hasrat besar dan ikhlas Malaysia untuk membantu negara sahabat.

“Saya dan Bapak Prabowo sudah bersahabat sekian lama, saling mengenali. Saya belum sempat menghabiskan kata-kata untuk menyampaikan hasrat Malaysia untuk membantu, Bapak Prabowo terus menyatakan bahawa beliau beri izin untuk kita memberikan bantuan,” katanya.

Hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia secara rasmi bermula pada 10 Oktober 1957, tidak lama selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos tahun sama, apabila Duta Besar pertama Malaysia ke Indonesia, Tan Sri Senu Abdul Rahman, menyerahkan surat tauliah kepada Presiden Soekarno.

Sejak itu, hubungan kedua-dua negara berkembang melalui pertukaran lawatan pemimpin, menteri, pegawai kanan, sektor korporat dan rakyat kedua-dua negara.

Namun, persahabatan dua negara serumpun itu tidak terhenti pada sejarah dan hubungan diplomatik. Lawatan Ahmad Zahid ke Jakarta dari 17 hingga 20 September 2026 memperlihatkan bagaimana hubungan tersebut terus diisi dengan kerjasama yang mempunyai kesan langsung kepada rakyat.

Pertemuan dengan Wakil Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka pada 17 September, misalnya, membuka ruang lebih luas untuk kerjasama dalam industri halal, pembangunan luar bandar dan perlindungan pekerja migran Indonesia di Malaysia.

Gibran sendiri menyifatkan Malaysia sebagai sahabat dekat dan rakan strategik Indonesia, selain menyambut baik usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

Dalam bidang pembangunan luar bandar pula, Ahmad Zahid bersama Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia, Yandri Susanto, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang memberi tumpuan kepada lapan bidang kerjasama.

Antaranya termasuk pembangunan kapasiti pengurusan desa, pendigitalan desa, keusahawanan luar bandar, pembangunan perusahaan desa, ekopelancongan dan agropelancongan, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) belia luar bandar, pembasmian kemiskinan serta program Sister Village.

Kerjasama itu penting kerana kedua-dua negara mempunyai pengalaman tersendiri dalam membangunkan kawasan luar bandar, sekali gus membuka ruang perkongsian pengetahuan, kepakaran dan amalan terbaik untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat desa.

Dari desa ke halal, persahabatan diperluas

Dalam masa sama, lawatan Ahmad Zahid turut membawa hubungan Malaysia-Indonesia ke satu lagi dimensi menerusi industri halal.

Penyertaan beliau pada Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Ke-5 di Jakarta menyaksikan Malaysia dan Indonesia terus menggerakkan usaha memperkukuh ekosistem halal bukan sahaja secara dua hala, malah ke peringkat ASEAN.

Ahmad Zahid mencadangkan supaya Majlis Halal ASEAN ditubuhkan dan dilancarkan di Malaysia pada September 2027, dengan Malaysia bersedia menjadi sekretariat dan Indonesia dicadangkan sebagai pengerusi sulung, tertakluk kepada persetujuan negara anggota.

Lebih bermakna, idea itu bukan lahir secara bersendirian. Ia pertama kali dicadangkan Ahmad Zahid ketika meja bulat industri halal Malaysia-Indonesia dan pertemuannya dengan Gibran di Jakarta pada April 2025, sebelum kedua-dua negara bersetuju pada Mei tahun sama untuk bersama-sama menerajui pembentukannya.

Perkembangan itu memperlihatkan bagaimana hubungan dua negara boleh bergerak daripada kepentingan bersama kepada usaha membentuk mekanisme serantau yang lebih tersusun.

Persahabatan yang diuji ketika bencana

Namun, daripada keseluruhan lawatan itu, isu kebakaran hutan dan jerebu menjadi gambaran paling jelas tentang erti sebenar persahabatan Malaysia-Indonesia.

Ketika kebakaran hutan dan tanah di Indonesia turut memberi kesan kepada negara jiran, khususnya Sarawak, Malaysia memilih untuk menawarkan bantuan. Ahmad Zahid sebelum itu menyatakan Malaysia bersedia menghulurkan aset dan kepakaran sekiranya diperlukan Indonesia.

Tawaran itu kemudian diterima Prabowo. Presiden Indonesia itu sendiri mengakui hubungan peribadinya dengan Ahmad Zahid sebagai hubungan kawan lama, sekali gus memberi dimensi lebih manusiawi kepada kerjasama dua negara dalam menangani bencana.

Di situlah nilai persahabatan dua negara serumpun benar-benar terserlah, bukan hanya apabila ada kepentingan untuk dibincangkan, tetapi apabila ada kesusahan yang perlu dipikul bersama.

Lawatan Ahmad Zahid ke Jakarta akhirnya meninggalkan gambaran bahawa hubungan Malaysia-Indonesia terus berkembang dalam pelbagai lapisan, daripada hubungan pemimpin, pembangunan desa, ekonomi halal dan kerjasama serantau, hinggalah kepada bantuan ketika bencana.

Lebih enam dekad selepas hubungan diplomatik rasmi terjalin, persahabatan itu terus menemukan bentuk baharu.

Kerana bagi dua negara yang berkongsi sejarah, budaya, bahasa dan akar serumpun, sempadan di peta mungkin memisahkan wilayah, tetapi tidak semestinya memisahkan persahabatan. – UTUSAN

PENULIS ialah Pemangku Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×