Dakwa terima arahan tuhan sebulan, etnik rohingya bunuh rakan

‘Suspek bunuh rakan didakwa terima arahan tuhan’

MOHD. Yusoff Mamat semasa memeriksan perbarisan sempena perhimpunan bulanan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang lelaki etnik Rohingya mendakwa menerima arahan tuhan sejak sebulan lalu sebelum bertindak membunuh rakannya menggunakan sebilah parang di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam dekat Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh di sini Jumaat lalu.

Suspek utama berusia 31 tahun itu ditangkap di sebuah rumah di Pasir Mas dekat sini semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga rakan sekerja mangsa mendakwa mendapat arahan Tuhan sebelum bertindak menetak mangsa di rumah kongsi berkenaan.

“Setakat ini, kita nampak dia seperti berhalusinasi, namun segala masalah yang dihadapi mangsa akan disahkan oleh pakar atau doktor.

“Siasatan awal turut mendapati, suspek menetak remaja itu ketika sedang berada di rumah kongsi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, semasa kejadian sebarang pergelutan atau pergaduhan berlaku antara suspek dan mangsa.

Katanya, suspek dipercayai sudah mendapat arahan berkenaan kira-kira sebulan lalu sebelum menunggu sehingga Jumaat lalu untuk bertindak membunuh mangsa.

“Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek negatif dadah. Selain itu, kita turut meragui kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik suspek yang dipercayai kad palsu.

“Ini kerana, kad UNHCR miliknya mempunyai tarikh lahir sama cuma berbeza tahun sahaja dengan dua rakannya yang ditahan untuk membantu siasatan pada Sabtu lalu,” ujarnya.

Mohd. Yusoff berkata, selepas berbuat demikian suspek melarikan diri ke Pasir Mas.

Utusan Malaysia, 19 September lalu melaporkan, seorang remaja lelaki etnik Rohingya berusia 18 tahun ditemukan maut dengan kecederaan pada leher, dipercayai dibunuh menggunakan objek tajam berhampiran bangsal sebuah rumah yang dalam pembinaan di Taman Desa Kujid, Kampung Panji, di sini, malam tadi.

Mangsa ditemukan di kawasan berkenaan selepas kejadian kira-kira pukul 10.30 malam.

Seorang penduduk Kampung Panji, Najib Ahmad, 50, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 7 pagi tadi selepas dimaklumkan jemaah surau di kampung berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×