PETALING JAYA: Susulan persembahan penuh nostalgia di acara Keretapi Sarong 2026 baru-baru ini, penyanyi dan komposer Najwa Latif maklum akan permintaan peminat yang mahu konsert solo atau persembahan berskala besar dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Najwa, 31, atau lebih mesra disapa Wawa berkata, dia masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk mengadakan konsert buat masa ini.
“Mengenai permintaan untuk mengadakan showcase atau konsert, buat masa ini saya masih belum ada perancangan ke arah itu.
“Sekiranya ada rezeki dan perancangan yang matang pada masa hadapan, insya-Allah saya akan maklumkan kepada semua. Namun buat masa sekarang, jawapannya belum lagi,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysa.
Mengimbas kembali penglibatannya dalam acara Keretapi Sarong yang tular di media sosial, Najwa menyifatkan ia adalah kenangan manis yang tidak boleh dilupakan.
Walaupun terpaksa berdepan dengan cuaca panas terik, penyanyi lagu Kosong itu terharu melihat ribuan peminat yang hadir mengenakan busana tradisi tetap setia menunggu dan menyanyi bersama-sama.
“Suasana sangat meriah bagi saya. Walaupun ketika itu cuaca agak mencabar dengan panas terik sekitar pukul 2 petang, saya rasa sangat terharu apabila melihat ramai yang berkumpul dan menyanyi sekuat hati bersama-sama saya.
“Melihat sokongan sebegitu memberikan satu perasaan yang sukar digambarkan,” jelasnya lagi.
Dalam persembahan tersebut, Najwa berjaya mengubat kerinduan peminat dengan membawakan rangkaian lagu-lagu hit yang pernah melonjakkan namanya suatu ketika dahulu termasuk AdaMu, Carta Hati, Kosong, Sahabat dan lagu yang memulakan fenomena dirinya, Cinta Muka Buku.
Sejak video persembahannya tular, rata-rata netizen mula membanjiri ruangan komen di media sosial dengan menggesa mana-mana penganjur acara untuk membawa penyanyi itu ke pentas konsert solo bagi meraikan lagunya yang dianggap malar segar -UTUSAN











