Israel tuntut ‘pampasan’ AS jual pesawat kepada Arab Saudi - Utusan Malaysia

Israel tuntut ‘pampasan’ AS jual pesawat kepada Arab Saudi

SEBUAH pesawat F-35 buatan AS bergerak di landasan di Pangkalan Udara Taktikal ke-32 di Lask, Poland tengah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Israel merancang meminta Amerika Syarikat (AS) menyediakan keupayaan pertahanan tambahan sebagai ‘pampasan’ selepas Washington bersetuju menjual jet pejuang F-35 kepada Arab Saudi, me­nurut media Israel.

Tel Aviv akan memohon untuk membeli sistem persenjataan yang sebelum ini enggan diluluskan oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, lapor laman be­rita Israel, Walla.

Fokus ketenteraan Is­rael bukan sahaja me­rangkumi jet pejuang cang­gih dan pesawat ge­nerasi baharu berteknologi halimunan. Ma­lah, ia melibatkan senjata berasaskan angkasa dan pembangunan serta pengeluaran pesawat pemintas, menurut laporan itu.

Senjata yang akan diminta pegawai Israel turut merangkumi peluru berkuasa memusnahkan kubu bawah tanah. Ia turut melibatkan sistem bawah tanah yang mampu beroperasi jauh di bawah gunung berbatu.

Langkah itu bertujuan mendapatkan pampasan daripada Washington su­sulan perjanjian F-35 dengan Riyadh, menurut laman web berkenaan.

Pada Khamis, Jabatan Negara AS kemungkinan meluluskan  penjualan 48 jet pejuang F-35 bernilai AS$24.3 bilion (RM99.21 bilion) kepada Arab Saudi.

Pakej itu turut merang­kumi 49 enjin Pratt & Whitney F135-PW-100, se­lain peralatan kriptografi, sokongan pepe­rangan elektronik, pakej latihan dan logistik, menu­rut notis yang dihantar kepada Kongres AS.

Jika dimuktamadkan, perjanjian itu menjadikan Arab Saudi negara Arab pertama memperoleh jet pejuang F-35, manakala Israel kini merupakan satu-satunya pengendali pesawat berkenaan di Asia Barat. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×