TEHERAN: Dua anak kapal cedera selepas sebuah kapal tangki terkena objek tidak diketahui pada Isnin di Selat Hormuz, menurut sebuah agensi maritim.
Teheran berusaha mengekalkan cengkaman terhadap laluan perairan penting itu dalam peperangannya dengan Amerika Syarikat (AS), manakala Washington meneruskan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran.
“Pihak berkuasa ketenteraan memaklumkan bahawa sebuah kapal tangki yang sedang belayar memasuki kawasan berkenaan terkena objek tidak diketahui,” kata Operasi Perdagangan Marin United Kingdom (UKMTO).
“Dua anak kapal mengalami kecederaan ringan dan kapal itu dilaporkan meneruskan pelayaran ke pelabuhan persinggahan seterusnya menggunakan kuasanya sendiri,” tambahnya.
Syarikat keselamatan Britain, Vanguard Tech berkata, kapal tangki berbendera UK, La Stephanie terkena dron ketika belayar menuju ke Teluk.
Ia turut melaporkan dua anak kapal mengalami kecederaan ringan. – AFP











