Kuartet renang negara pecah rekod kebangsaan

Kuartet renang negara pecah rekod kebangsaan

Aksi perenang dalam acara akhir renang berganti-ganti 4x200 meter gaya bebas lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Pusat Akuatik Tokyo, Tokyo, hari ini.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Kuartet 4×200 meter (m) gaya bebas lelaki negara mencipta sensasi tersendiri apabila memecahkan rekod kebangsaan dalam final Sukan Asia di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini.

Gandingan Khiew Hoe Yan, Ananda Lim, Jaydan Tan dan Arvin Shaun Singh Chahal merekodkan masa 7 minit 18.79 saat untuk menamatkan saingan di tempat kelima.

Catatan itu menyaksikan mereka memperbaharui rekod kebangsaan terdahulu, iaitu 7:19.50, sekali gus mengukuhkan prestasi kuartet negara di pentas benua.

China pula mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod Asia dengan catatan 7:00.17 saat, mengatasi rekod lama 7:00.91 saat untuk meraih pingat emas.

Jepun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat masa 7:01.05 saat, manakala Korea Selatan melengkapkan podium di tempat ketiga menerusi catatan 7:06.76 saat.

Kejayaan Malaysia melangkah ke final hadir selepas kuartet negara menampilkan aksi konsisten dalam saringan kelayakan, apabila mencatat 7:22.05 saat untuk menduduki tempat kelima keseluruhan.

Dalam Saringan 2, Malaysia mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga di belakang China yang merekodkan 7:11.70 saat dan Jepun dengan catatan 7:13.02 saat.

Walaupun gagal menembusi kelompok tiga terbaik, kuartet negara tetap meninggalkan impak bermakna menerusi rekod kebangsaan baharu yang dilakar dalam final.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×