Emas pertama Malaysia hari ini?

Emas pertama Malaysia hari ini?

Harapan mencari pingat emas pertama negara di Sukan Asia Aichi -Nagoya 2026 diletakkan di bahu Tan Cheong Min apabila turun beraksi dalam final acara Nanquan dan Nandao wanita hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sukan wushu dijangka berpotensi besar menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Harapan itu kini diletakkan di bahu ratu wushu negara yang juga juara dunia, Tan Cheong Min, apabila turun beraksi dalam final acara Nanquan dan Nandao wanita.

Cheong Min menjadi antara taruhan utama Malaysia untuk memecahkan kebuntuan emas pada peringkat awal temasya, sekali gus mencetuskan momentum positif kepada kontinjen negara yang bakal berdepan cabaran dalam acara masing-masing.

Ketua Kontinjen Sukan Asia 2026, Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, barisan wushu negara diletakkan harapan dan beliau berharap mereka mampu merealisasikan impian untuk menghadiahkan emas pertama Malaysia.

Menurutnya, kejayaan membuka akaun emas lebih awal sangat penting kerana pencapaian itu mampu menjadi pencetus semangat kepada atlet lain yang akan memulakan perjuangan masing-masing dalam beberapa hari akan datang.

Katanya, persiapan rapi yang dilakukan atlet negara turut memberikan keyakinan bahawa sasaran tersebut mampu direalisasikan, namun beliau mengakui keputusan di gelanggang tidak semestinya berpihak kepada atlet yang diletakkan sebagai pilihan.

“Harapan kita tinggi kepada sukan wushu dan diharapkan akan mendapatkan pingat emas pertama. Kita memang perlu mendapatkan pingat emas pertama kerana ia akan memberikan penyuntik semangat yang besar buat atlet lain.

“Saya harap ia akan menjadi kenyataan kerana walaupun di atas kertas kita mengharapkan emas, adakalanya ia boleh berlaku sebaliknya. Adakala kita tidak yakin boleh mendapat pingat tetapi kemudian mendapat emas, itu juga boleh berlaku.

“Saya masih menaruhkan keyakinan terhadap semua atlet kita, dengan semangat juang yang tinggi, semangat membawa bendera Malaysia dan harapan semua rakyat Malaysia untuk melihat kita dapat menuai banyak pingat untuk Sukan Asia kali ini,” katanya.

Sebagai rekod, Cheong Min berjaya menaiki podium Sukan Asia 2022 selepas meraih perak dalam acara sama pada temasya di Hangzhou. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×