JPJ raih RM91.2 juta menerusi bidaan NPI Siri H

JPJ raih RM91.2 juta menerusi bidaan NPI Siri H

AEDY Fadly Ramli (tengah) melakukan gimik perasmian nombor pendaftaran baru Hari Malaysia pada Majlis Interaksi Bersama Media Sempena Hari Malaysia di Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nombor pendaftaran istimewa (NPI) H 1 mencatatkan bidaan tertinggi sebanyak RM10,777,777 menerusi sistem JPJeBid.

Selepas H 1, bidaan kedua tertinggi direkodkan nombor H 9 dengan nilai RM4,969,999, diikuti H 3 sebanyak RM4,209,777 dan H 5 berjumlah RM4,007,777.

Nombor H 8 pula dibida pada harga RM4 juta, diikuti H 6 sebanyak RM3.38 juta, H 2 (RM3.18 juta), H 7 (RM3.1 juta), H 4 (RM2,437,777) dan H 11 (RM1,557,777).

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, NPI Siri H yang diperkenalkan sempena sambutan Hari Malaysia 2026 merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM91,206,642.

Katanya, jumlah itu merangkumi RM89,266,542 hasil bidaan serta RM1,940,100 fi perkhidmatan.

“Bidaan dilaksanakan sepenuhnya melalui sistem JPJeBid bermula 16 hingga 20 September 2026.

“Secara keseluruhan, seramai 34,664 pembida telah mengambil bahagian dengan 8,223 nombor pendaftaran berjaya dibida, sekali gus memperlihatkan sambutan amat menggalakkan terhadap NPI Siri H,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, MOT berkata, nombor H 1001 dan H 100 mencatatkan penyertaan tertinggi dengan masing-masing menerima 37 pembida.

“Ia diikuti H 1805 dengan 36 pembida, manakala H 1777 dan H 4818 masing-masing menerima penyertaan daripada 32 pembida,” katanya.

MOT berkata, kejayaan NPI Siri H bukan sahaja mencerminkan sambutan tinggi terhadap nombor pendaftaran istimewa, malah membuktikan keberkesanan transformasi digital kerajaan melalui platform JPJeBid.

Katanya, sistem itu menjadikan proses bidaan lebih mudah, pantas, cekap dan telus.

“Hasil yang dijana melalui inisiatif ini akan kembali kepada rakyat menerusi pelbagai program dan inisiatif MOT serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk program keselamatan jalan raya dan inisiatif yang memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Justeru, kejayaan NPI Siri H bukan sekadar tentang angka atau nombor pendaftaran, tetapi membawa nilai yang lebih besar kepada rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×