Perkara berkaitan anak memang sensitif, masing-masing ada ujian - Sharifah Shahirah - Utusan Malaysia

Perkara berkaitan anak memang sensitif, masing-masing ada ujian – Sharifah Shahirah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah mengakui dia juga tidak terlepas daripada berdepan dengan konflik bersama anak-anak apatah lagi ragamnya berbeza-beza.

Menurut Shahirah atau lebih mesra disapa sebagai Sheira, sebagai ibu dia juga masih mempelajari cara terbaik untuk mengendalikan emosi setiap kali berdepan dengan situasi berkenaan agar tidak mengeruhkan lagi ketegangan yang berlaku.

“Apabila marah, kita memang boleh terlepas kata. Sebab itu kita perlu berfikir. Banyak yang kita sendiri perlu belajar sebagai seorang ibu. Bukan niat kita mahu anak jadi teruk, tetapi apabila geram, kadang-kadang mulut memang terlepas. Tetapi kita tidak boleh menjadi orang lain. Saya memang begini. Ibu saya dahulu pun marah dan maki saya juga.

“Namun, pada akhirnya kita tahu ibu kita sebenarnya mendoakan yang terbaik. Cuma kita mengambil masa untuk faham. Jangan jadikan keadaan lebih teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ditanya mengenai pandangannya terhadap segelintir kaum ibu yang gemar meluahkan perihal anak di media sosial, ibu kepada penyanyi, Oddah itu berpendapat setiap orang mempunyai cara tersendiri dalam mendidik.

“Memang perkara berkaitan anak ini sensitif. Tetapi bagi saya, perangai setiap orang berbeza. Kadang-kadang lebih baik kita berdiam. Kalau satu pihak tengah bising, mungkin satu lagi diam dahulu. Sepuluh hari kemudian mungkin semuanya okey.

“Jangan kita pula sibuk bercakap mengenai orang. Itu drama kehidupan biasa. Masing-masing ada ujian. Saya pula diuji dengan cara lain. Jadi kita tidak boleh harapkan semua orang bertindak mengikut cara kita,” kongsinya.

Sheira bagaimanapun mengakui dirinya lebih selesa menyelesaikan segala perihal melibatkan rumah tangganya secara peribadi, selain enggan meraih perhatian umum.

“Pada saya, saya lebih suka selesaikan perkara peribadi di belakang. Saya sendiri pernah melalui macam-macam perkara. Kalau gaduh suami isteri atau apa sahaja, saya selesaikan di belakang.

“Kalau boleh, saya memang tidak mahu orang tahu. Saya lebih suka berkongsi perkara yang positif dan baik-baik sahaja kepada orang lain. Tetapi itu saya. Kalau orang lain suka meluahkan atau berkongsi, itu terpulang kepada mereka. Biarkanlah,” jelasnya.

Terdahulu, Sheira dipuji segelintir pihak selepas melihat caranya dalam memberikan sokongan terhadap anak-anaknya, malah tidak pernah mendoakan perkara buruk terhadap mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×