Muamalat Bullets, MBSA Blue buka tirai CSR 2026 dengan kemenangan

Muamalat Bullets, MBSA Blue buka tirai CSR 2026 dengan kemenangan

AKSI Muamalat Bullets ketika menentang ATM Vanguard dalam aksi pertama saingan Corporate Super Rugby (CSR) 2026 di EV Arena Elmina, kelmarin.-IHSAN PENGANJUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Muamalat Bullets membuka kempen Corporate Super Rugby (CSR) 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan ATM Vanguard 10-0, manakala MBSA Blue Pelican mencuri tumpuan menerusi kemenangan besar 48-13 ke atas Ragbi PDRM di EV Arena Elmina, kelmarin.

Dua aksi pembukaan itu berlangsung dalam tempo tinggi dengan setiap pasukan memperagakan permainan kompetitif dalam usaha mendapatkan permulaan terbaik pada musim ini.

Muamalat Bullets yang juga juara dua kali dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan ATM Vanguard yang tampil cukup berdisiplin dalam mengekang gerakan pasukan pilihan itu.

ATM Vanguard, yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia, berjaya memastikan perlawanan berlangsung sengit untuk tempoh yang panjang apabila barisan pertahanan mereka kental bertahan daripada tekanan Muamalat Bullets.

Bagaimanapun, pengalaman skuad Bullets akhirnya membuahkan hasil apabila pemain kebangsaan, Hariz Ezzat Hamidon menghasilkan percubaan penting pada babak kedua sebelum pasukannya melengkapkan kemenangan 10-0.

Ketua Jurulatih Muamalat Bullets, Mazuri Salehuddin, mengakui kemenangan tersebut belum cukup untuk memuaskan hati pasukannya, terutama jika mereka mahu memburu kejuaraan ketiga CSR.

“ATM Vanguard memberikan tentangan yang sangat baik dan mereka cukup sukar untuk ditembusi.

“Kami gembira dengan kemenangan ini, tetapi masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Jika mahu menjulang gelaran ketiga, kami perlu tampil lebih tajam dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, MBSA Blue Pelican menampilkan aksi lebih meyakinkan apabila menundukkan Ragbi PDRM 48-13 dalam pertemuan membabitkan dua pasukan yang membuat penampilan pertama dalam CSR.

Wakil Majlis Bandaraya Shah Alam itu menguasai permainan menerusi corak serangan yang tersusun, dengan bekas pemain kebangsaan, Mohammad Nazreen Fitri muncul sebagai Pemain Terbaik Perlawanan selepas menyumbang 24 mata hasil ketepatan sepakan penalti dan sepakan tambahan.

Ketua Jurulatih MBSA Blue Pelican, Faridzal Ismail bagaimanapun mahu anak buahnya tidak terlalu cepat berpuas hati kerana cabaran lebih besar menanti pada minggu kedua apabila mereka berdepan Muamalat Bullets.

“Kami menghargai usaha semua pemain malam ini. Mereka menunjukkan disiplin serta komitmen yang baik, tetapi perjalanan masih panjang dan masih banyak ruang untuk kami perbaiki.

“Perlawanan menentang Muamalat Bullets nanti pastinya satu ujian yang berbeza, dan kami perlu membuat persiapan sebaik mungkin,” ujarnya.

Bagi Ragbi PDRM, kekalahan besar itu menjadi pengalaman awal buat pasukan yang turut membuat penampilan pertama dalam CSR, dengan jurulatihnya, Zulkiflee Azmi mengakui mereka masih dalam proses membentuk gandingan terbaik antara pemain berpengalaman dan bakat muda.

“Kami masih dalam proses membentuk kombinasi terbaik antara pemain senior dan pemain muda. Keputusan ini memberi kami banyak pengajaran, dan kami perlu menunjukkan peningkatan yang lebih jelas dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Aksi minggu kedua menyaksikan Muamalat Bullets akan berdepan MBSA Blue Pelican pada pukul 5 petang di EV Arena Elmina City Centre, manakala Ragbi PDRM menentang ATM Vanguard di venue dan waktu yang sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×