Ketuanan Melayu bukan rasis, penuh diskriminasi etnik

Ketuanan Melayu bukan rasis, penuh diskriminasi etnik

KETUANAN Melayu perlu difahami dalam konteks sejarah, pemilikan dan kedudukan institusi raja Melayu, bukan sebagai lambang penguasaan atau diskriminasi terhadap etnik lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK ungkapan Ketuanan Melayu diperkenalkan beberapa ketika dahulu, istilah itu terus menerima tentangan hebat, bukan sahaja daripada ramai etnik bukan Melayu, malah segelintir masyarakat Melayu sendiri. Mereka mentafsirkannya sebagai gambaran pengabdian oleh etnik Melayu ke atas yang bukan Melayu.

Antaranya, etnik Melayu sebagai pihak dan tempat etnik bukan Melayu menghambakan diri. Itulah tanggapannya, malah satu-satunya alasan dimainkan sejak dahulu.

Namun perkataan ‘tuan’ dalam bahasa Melayu dan pelbagai bahasa lain, tidak hanya membawa makna sebagai pihak yang menghambakan diri atau dalam penggunaan semasa, istilah tersebut turut dikaitkan dengan kedudukan seperti orang gaji, budak suruhan, khadam dan seumpamanya.

Dalam konteks Melayu sebagai pemilik tempat, mereka dianggap berhak melakukan kawalan dalam apa-apa bentuk dan untuk sebarang tujuan.

Dengan ini, penggunaan ungkapan Ketuanan Melayu bukan sahaja tepat, malah tidak perlu dipertikai. Antaranya dengan menyerang penggunaannya secara agresif sehingga boleh menimbulkan ketegangan etnik.

Sebenarnya, polemik penggunaan ungkapan Ketuanan Melayu tidak seharusnya timbul jika istilah tersebut difahami dalam konteks pemilikan. Dalam pengertian ini, Tanah Melayu merujuk kepada tempat yang menjadi tanah asal dan milik orang Melayu, sebelum didatangi oleh etnik lain.

Dengan adanya hak pemilikan tersebut, muncul pula hak untuk mengawal keadaan di wilayah yang mempunyai kaitan sejarah dengan orang Melayu. Kawalan ini bertujuan memastikan suasana terkawal selepas kedatangan masyarakat dari luar, termasuk memelihara kestabilan serta mengelakkan berlakunya huru-hara.

HAK KAWALAN

Sebenarnya hak kawalan inilah yang diserang apabila ungkapan Ketuanan Melayu digunakan seperti apakah hak etnik Melayu untuk mengawal etnik bukan Melayu?

Soalan ini sangat tidak patut ditanyakan kerana bukan sahaja bersifat mencabar etnik Melayu terhadap milikan, malah menunjukkan sikap bebal pada pihak yang mengajukannya.

Apakah masalahnya dengan hak kawalan tersebut? Perkara seperti ini merupakan lumrah, lebih-lebih lagi di wilayah yang sudah lama mempunyai penduduk asal apabila didatangi pihak luar, apatah lagi dalam jumlah yang besar.

Dalam konteks Tanah Melayu, wilayah ini sudah mempunyai penduduk asal ketika kemasukan etnik bukan Melayu berlaku dalam jumlah besar bagi memenuhi kepentingan ekonomi penjajah British. Dalam migrasi tersebut, etnik Melayu hanya berada di kedudukan ketiga dengan British merupakan pihak pertama, manakala etnik bukan Melayu pula ditempatkan sebagai pihak kedua.

Oleh itu, etnik Melayu bukan sahaja tidak mempunyai peranan, malah tiada pengaruh dalam menentukan dasar migrasi tersebut. Namun begitu, masyarakat Melayu tetap menerima kesan daripada perubahan yang berlaku susulan kemasukan penduduk luar ke wilayah mereka.

Walaupun ditempatkan sebagai pihak ketiga dan tidak dirujuk secara rasmi dalam pengambilan tenaga kerja dari China serta India, namun orang Melayu tetap merupakan penduduk asal di wilayah tersebut.

Hal ini dapat dilihat melalui pengiktirafan British terhadap kedudukan sah semua raja Melayu bersama rakyat baginda untuk memerintah serta menetap di negeri masing-masing. Pada masa yang sama, British turut melantik residen dan penasihat British dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu tersebut.

Ini bermakna, walaupun dijajah, British tidak pernah sesekali menakluki tempat ini dengan sepenuhnya selain tidak masuk campur dalam kawalan politik dan proses asimilasi.

Ini dapat dilihat apabila sistem politik yang beraja Melayu terus dibenarkan, walaupun dengan kuasa yang dikurangkan. Selain itu, agama anutan etnik Melayu tidak pernah diganggu gugat. Begitu juga dengan adat dan budaya etnik Melayu.

Ini sangat berbeza dengan penjajahan British di India ketika mengambil alih pemerintahan negara itu sepenuhnya melalui Akta Kerajaan India 1858. Ketika itu, British tidak menghormati sensitiviti agama Islam dan Hindu sehingga menyebabkan tercetusnya Pemberontakan India pada 1857.

Perkara sama berlaku di Burma (Myanmar). Penjajah British menamatkan sistem beraja melalui Perang British-Burma Ketiga pada 1885. Sehubungan penyingkiran sistem raja ini, berlaku gangguan keagamaan. Ini kerana hubungan diraja yang rapat dengan kebiaraan Buddha terputus dengan ketiadaan sistem itu.

Dengan tidak berlakunya perkara sama di Tanah Melayu, maka kedudukan pemilikan orang Melayu terhadap wilayah ini terus kekal sepanjang zaman. Seiring dengan itu, hak kawalan yang dikaitkan dengan kedudukan tersebut menjadi semakin terserlah serta mempunyai asas yang lebih kukuh.

Dengan ini, kewujudan Tanah Melayu yang merupakan tempat etnik Melayu mantap dan utuh pada sepanjang masa, termasuklah sewaktu dijajah.

Ini antaranya kerana sistem politik beraja Melayu tidak pernah dirobohkan. Ini dapat dilihat sepanjang penjajahan selama 450 tahun, bermula pada 1511 sehingga 1957.

Dengan kesinambungan sistem beraja Melayu sepanjang tempoh penjajahan, kedudukan tersebut terus memberikan pengiktirafan wilayah ini mempunyai kaitan sejarah dengan orang Melayu serta diperintah oleh raja Melayu. Oleh itu, orang Melayu melalui institusi raja Melayu mempunyai hak kawalan ke atas tempat ini, lebih-lebih lagi setelah bebas daripada belenggu penjajah.

Hak kawalan ini sebenarnya terserlah sewaktu tempat ini mahu memperoleh kemerdekaan daripada British. Ini dapat dilihat pada rundingan kaum menjelang kemerdekaan yang melibatkan permohonan kerakyatan kepada etnik Melayu oleh etnik bukan Melayu supaya etnik Cina dan India dapat terus tinggal di bumi Melayu-Islam ini.

Rundingan itu atau dikenali Kontrak Sosial sebenarnya Persetujuan Etnik 1955 untuk memperoleh kemerdekaan daripada British pada 1957. Rundingan itu juga dikenali Perjanjian Kemerdekaan.

Natijahnya, permohonan untuk terus menetap di Tanah Melayu selepas penjajahan British memerlukan persetujuan pihak berkuasa tempatan. Hal ini, menurut hujah tersebut, mengukuhkan kedudukan orang Melayu sebagai penduduk asal yang mempunyai hak terhadap wilayah ini.

Dalam konteks ini, Ketuanan Melayu hendaklah difahami sebagai ungkapan yang merujuk kepada kedudukan sejarah orang Melayu, termasuk kaitannya dengan institusi raja Melayu serta hak menentukan hal ehwal negara. Pengertian tersebut bukan bermaksud penguasaan, diskriminasi atau penghinaan terhadap etnik bukan Melayu. –UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×