AS hantar 25,000 pendatang ke negara ketiga menerusi perjanjian sulit - Utusan Malaysia

AS hantar 25,000 pendatang ke negara ketiga menerusi perjanjian sulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menghantar pulang lebih 25,000 pendatang ke negara ketiga menerusi perjanjian sulit dengan 35 negara, walaupun individu terbabit tidak mempunyai sebarang kaitan dengan negara yang menerima mereka.

Menurut siasatan Forbidden Stories yang diterbitkan pada Isnin, Washington sejak Presiden Donald Trump memegang jawatan pada Januari 2025, memeterai perjanjian dengan beberapa negara membangun untuk menerima migran yang tidak boleh dihantar pulang secara sah ke negara asal mereka.

Siasatan itu mendapati pentadbiran Trump memperuntukkan AS$410 juta (RM1.7 bilion) untuk disalurkan terus kepada negara penerima atau agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu melaksanakan proses penghantaran berkenaan.

Data yang dikumpulkan Forbidden Stories bersama konsortium wartawan antarabangsa menunjukkan sekurang-kurangnya 25,447 pendatang dihantar ke negara ketiga setakat 31 Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, kira-kira 20,000 orang dihantar ke Mexico, manakala selebihnya ditempatkan di 27 negara lain di Amerika Latin, Afrika dan rantau Pasifik.

Perjanjian dengan tujuh lagi negara turut dimuktamadkan, menurut siasatan berkenaan.

Penghantaran ke negara ketiga itu membabitkan migran yang tidak mempunyai hubungan dengan negara penerima, termasuk mereka yang tidak boleh dihantar pulang ke negara asal atas faktor undang-undang atau halangan lain.

Perjanjian berkenaan mempunyai syarat berbeza, termasuk berkaitan kewarganegaraan migran yang boleh dihantar pulang serta sama ada individu yang mempunyai rekod jenayah boleh diterima.

Siasatan AFP awal tahun ini mendapati Washington menggunakan sekatan dan larangan visa terhadap beberapa negara Afrika bagi memberi tekanan supaya negara berkenaan menerima migran yang dihantar pulang dari AS.

Peguam memberitahu AFP bahawa migran terbabit seolah-olah ditempatkan dalam keadaan tanpa kepastian dari segi undang-undang, apabila ditahan tanpa pertuduhan di negara yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mereka serta mempunyai sedikit atau tiada hak.

Forbidden Stories melaporkan 49 daripada 54 negara di Afrika didekati untuk menerima migran yang dihantar pulang dari AS ke negara ketiga.

Menurut laporan itu, sebahagian besar rundingan dan urusan pembayaran dikendalikan bahagian kurang dikenali di Jabatan Negara AS, iaitu Pejabat Penghantaran Semula, yang ditubuhkan pada Mei 2025.

Bahagian itu diketuai Christian Jove Ehrhardt, seorang diplomat berusia 41 tahun yang sebelum ini pernah bertugas sebagai pegawai keselamatan.

Laporan itu turut memperincikan lawatan Ehrhardt ke Cameroon, yang memeterai memorandum persefahaman dengan AS pada Disember lalu untuk menerima migran yang dihantar pulang.

Seminggu kemudian, Cameroon turut menandatangani program bantuan kesihatan selama lima tahun bernilai hampir AS$400 juta.

Pada bulan berikutnya, Jabatan Negara AS mengumumkan tambahan dana AS$30 juta kepada Agensi Pelarian PBB (UNHCR) di Cameroon bagi “memudahkan kepulangan pelarian secara sukarela dan membanteras imigresen haram”.

Pesawat pertama yang membawa migran yang dihantar pulang dari AS tiba di Cameroon pada 14 Januari lalu.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×