Imigresen laksana 9,700 operasi, lebih 57,000 PATI ditahan

Imigresen laksana 9,700 operasi, lebih 57,000 PATI ditahan

LOKMAN Effendi Ramli (dua dari kiri) ketika hadir dalam operasi penguatkuasaan di Flat Sri Kolam, Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Jabatan Imigresen (JIM) melaksanakan lebih 9,700 operasi di seluruh negara sehingga 17 September lalu dengan lebih 130,000 warga asing diperiksa.

Timbalan Ketua Pengarahnya (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, daripada jumlah tersebut, lebih 57,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Katanya, lebih 35,000 PATI ditahan dalam operasi yang dijalankan JIM manakala lebih 22,000 lagi ditahan di pintu masuk negara serta melalui serahan daripada agensi penguat kuasa lain.

“Operasi ini diteruskan dan kita tidak berhenti atau mengurangkannya. Operasi dilaksanakan sepanjang tahun pada setiap masa. Jika dilihat berdasarkan statistik sehingga 17 September lalu, sebanyak 9,700 operasi dilaksanakan dalam tempoh 260 hari bermula 1 Januari lalu, iaitu purata 37 operasi sehari,” katanya selepas mengetuai operasi penguatkuasaan di Flat Sri Kolam, di sini, hari ini.

Katanya, tindakan penguatkuasaan JIM bukan sahaja tertumpu kepada warga asing malah turut melibatkan majikan, pemilik premis dan pemilik kediaman yang melanggar undang-undang imigresen.

“Mana-mana majikan yang didapati melakukan kesalahan imigresen turut didakwa termasuk melindungi atau menggajikan PATI yang tidak mempunyai pas penggajian sah. Pemilik premis atau kediaman juga boleh didakwa sekiranya menyewakan premis milik mereka kepada PATI,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 1,720 majikan di seluruh negara telah didakwa atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen sehingga 17 September lalu.

“Jika dibahagikan dengan tempoh 260 hari, purata enam majikan atau pemilik premis didakwa setiap hari,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap warga asing yang disyaki melakukan kesalahan imigresen, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa secara rasmi bagi membolehkan tindakan susulan diambil. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×