Harga petrol, diesel EU cecah rekod tertinggi - Utusan Malaysia

Harga petrol, diesel EU cecah rekod tertinggi

GAMBAR menunjukkan harga bahan api yang dipaparkan di sebuah stesen minyak Avia di Paris, Perancis. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Harga petrol dan diesel di Kesatuan Eropah (EU) mencecah paras tertinggi ming­gu lalu, menurut Suruhanjaya Eropah. 

Margin penapisan, iaitu kos menukar minyak mentah kepada bahan api, menjadi antara faktor penyumbang kenaikan itu. Harga turut dijangka kekal tinggi apabila pakar Bank Pusat Eropah (ECB) memberitahu Euronews, margin diesel di­jangka memuncak pada Oktober.

Mengisi minyak kendera­an kini menjadi lebih mahal berbanding sebelum ini secara purata di seluruh EU, berdasarkan data Suruhanjaya Eropah yang direkodkan sejak lebih dua dekad lalu. 

Pada harga purata terkini, kos mengisi tangki petrol berkapasiti 50 liter kini adalah kira-kira 103 euro (RM483) manakala diesel sekitar 108 euro (RM506).

Harga runcit bahan api me­lonjak sejak tercetusnya konflik di Asia Barat. Ia sekali gus menambah tekanan terhadap inflasi. Inflasi tenaga di zon euro meningkat kepada 14.3 peratus pada Ogos, berban­ding 10.3 peratus pada Julai, menurut Bank Pusat Eropah.

Harga petrol mencapai purata berwajaran EU sebanyak 2.06 euro (RM9.65) seliter pada 14 September, manakala diesel mencecah 2.15 euro (RM10.12) seliter.

Bekalan minyak mentah Eropah berdepan gangguan lanjut selepas Saudi Aramco memaklumkan sekurang-kurangnya dua penapis mi­nyak di benua itu tidak akan menerima bekalan menerusi kontrak jangka panjang pada Oktober susulan serangan terhadap saluran paip utama kerajaan itu ke Laut Merah, lapor Bloomberg.

Laporan itu, yang memetik individu yang mengetahui keputusan berkenaan, menyatakan langkah tersebut terpakai kepada semua pembeli Eropah.

Sejak awal 2026, harga petrol purata berwajaran EU meningkat kira-kira 29 peratus, manakala harga diesel melonjak hampir 40 peratus.

Kedua-duanya merupakan paras tertinggi dalam siri data Suruhanjaya Eropah yang bermula pada 2005. Harga petrol sebelum ini mencatat paras tertinggi pada 2022, manakala harga diesel kali terakhir menghampiri paras semasa pada April tahun ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×