PETALING JAYA: Kecederaan otot paha dialami tonggak Harimau Malaya, Sergio Aguero mencetuskan tanda tanya terhadap penyertaannya bersama pasukan kebangsaan bagi menghadapi kempen Piala ASEAN FIFA 2026.
Pemain tengah berusia 32 tahun itu masih belum mencapai tahap kecergasan 100 peratus, malah proses pemulihannya masih berjalan ketika skuad kebangsaan bersiap menghadapi kejohanan berkenaan.
Perkara itu didedahkan jurulatih PSM Makassar, Darije Kalezic, susulan Aguero yang mendapat panggilan daripada jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk menyertai kem negara.
Katanya, Malaysia sememangnya mempunyai hak untuk memanggil Aguero, khususnya ketika jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Apakah dia (Aguero) cergas atau tidak, skuad kebangsaan Malaysia mempunyai hak memanggil pemainnya.
“Sudah tentu kita berkomunikasi, ada komunikasi dengan Malaysia berkenaan Aguero,” katanya.
Bagaimanapun, Kalezic menjangkakan Aguero tidak akan beraksi sepanjang kejohanan sekiranya kecederaan berkenaan masih belum pulih sepenuhnya.
Situasi itu turut memberi kesan kepada PSM Makassar apabila Aguero masih belum diturunkan selepas pasukan berkenaan mengharungi dua perlawanan liga.
“Sayangnya untuk kita ini, sudah tentu kerugian besar tidak bisa menggunakan Aguero sampai sekarang. Cederanya belum sembuh 100 peratus.
“Jika dia tidak bermain di sini dan sembuh 100 peratus, saya jamin kita tidak akan melihat beliau bermain nanti di skuad kebangsaan Malaysia,” katanya.
Aguero sebelum ini menjadi antara pemain yang diberi perhatian selepas menerima panggilan menyertai kem Harimau Malaya bagi menghadapi Piala ASEAN FIFA.
Sekiranya pemain berkenaan tidak cergas untuk menyertai kem negara, Cheng Hoe masih mempunyai pilihan daripada senarai menunggu, termasuk Syahir Bashah dari Selangor FC dan Aliff Haiqal Lau dari Penang FC.
Kedua-duanya adalah antara 13 pemain yang disenaraikan sebagai pemain menunggu skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen berkenaan. – UTUSAN











