Washington dakwa lebih satu bilion tong minyak mentah dihantar melalui Selat Hormuz - Utusan Malaysia

Washington dakwa lebih satu bilion tong minyak mentah dihantar melalui Selat Hormuz

LEBIH satu bilion tong minyak mentah didakwa dibawa kapal-kapal dagang melalui Selat Hormuz. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) mendakwa lebih satu bilion tong minyak mentah melalui Selat Hormuz dalam beberapa bulan kebelakangan ini ketika sekatan ketenteraan AS dilaksanakan di laluan berkenaan.

Selepas perang dengan AS bermula hampir tujuh bulan lalu, ancaman dan serangan Iran terhadap kapal perkapalan di laluan itu menyebabkan jumlah kapal tangki yang melalui selat berkenaan merosot dengan ketara.

Bagaimanapun, tentera AS mendakwa berusaha mewujudkan koridor bagi kapal tangki melalui bahagian selatan laluan air itu, sekali gus meningkatkan secara beransur-ansur jumlah eksport minyak dari negara-negara Teluk.

“Pasukan CENTCOM telah membantu lebih satu bilion tong minyak mentah keluar dari Teluk,” kata Ketua Tentera AS di Asia Barat, Laksamana  Brad Cooper dalam kenyataan yang dikeluarkan di platform media sosial X.

Cooper berkata, pasukan AS turut membantu lebih 2,000 kapal komersial melalui laluan strategik itu dengan menyediakan perlindungan yang disela­raskan.

Menurut beliau, laluan utama pelayaran di selat berkenaan telah dibersihkan daripada periuk api dan ribuan kapal sudah melaluinya.

Cooper berkata, jumlah minyak mentah, kargo dan gas asli cecair yang melalui selat itu dalam tempoh lebih dua minggu lalu adalah yang tertinggi berban­ding mana-mana tempoh sepanjang enam bulan sebelumnya.

Pada masa sama, Cooper ber­kata, Iran gagal mengeksport satu pun tong minyak, sambil menyifatkan penghentian itu berpunca daripada sekatan ketat AS.

Katanya, AS bekerjasama dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), syarikat insurans dan syarikat perkapalan untuk meningkatkan lagi jumlah trafik melalui laluan berkenaan, yang merupakan antara laluan transit tenaga utama dunia.

Sebelum konflik bermula, kira-kira satu perlima daripada minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia melalui Selat Hormuz, termasuk kira-kira 15 juta tong minyak mentah sehari.

Walaupun trafik kapal tangki meningkat, Iran terus menya­sarkan kapal yang cuba melalui selat berkenaan.

Iran berkat, pihaknya menyerang sebuah kapal tangki minyak berbendera Togo pada malam Khamis, manakala sebuah lagi kapal diserang pada Rabu, menurut pemantau insiden maritim. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×