KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shiha Zikir sejak selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga ke hari ini masih gagal melawan perasaan takut menaiki kapal terbang.
Kata Shiha, itu menjadi punca kenapa dia tidak menaiki pesawat sampai ke hari ini.
“Ada yang mesej (DM) dan bertanya, bukan dulu selalu ulang alik Indonesia ke? Hehe ye betul. Dulu boleh dikatakan setiap minggu ke sana.
“Tapi selepas PKP, banyak berita kapal terbang terhempas dilaporkan. Saya terbayang kalau jatuh dalam laut selepas itu terbayang ikan jerung.
“Bukan takut tinggi tapi takut laut. Korang bayangkan, dari PKP sampailah sekarang saya tak naik pesawat lagi,” katanya dalam Thread.
Penyanyi berusia 38 tahun itu bagaimanapun secara perlahan-lahan cuba merawat perasaan berkenaan.
“Sekarang tengah pujuk hati untuk lawan! Tolong bagi kata-kata semangat,” ujarnya.-UTUSAN











