Persoalan jerebu belum terjawab

Persoalan jerebu belum terjawab

KITA perlu membina sistem tindak balas yang tidak hanya diaktifkan apabila IPU sudah mencapai tahap sangat tidak sihat atau berbahaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA tidak boleh terus menganggap jerebu sebagai masalah bermusim yang datang ketika cuaca kering dan hilang apabila hujan turun. Persoalan yang lebih penting ialah, sampai bila kita mahu menunggu asap tiba sebelum bertindak?

Jerebu rentas sempadan bukan fenomena baharu di Malaysia. Kita sudah melalui episod demi episod selama beberapa dekad.

Apabila kebakaran hutan dan tanah berlaku secara besar-besaran di negara jiran, khususnya di Sumatera dan Kalimantan, asap boleh dibawa oleh angin merentasi sempadan negara.

Apabila angin membawa asap tersebut ke Malaysia, rakyat kita pula yang terpaksa berhadapan dengan kesannya. Sekolah ditutup. Aktiviti luar dikurangkan. Golongan berisiko dinasihatkan agar berada di dalam bangunan.

Perkhidmatan kesihatan perlu bersedia menghadapi peningkatan masalah berkaitan pernafasan. Produktiviti turut terjejas. Maka, jerebu bukan lagi sekadar persoalan alam sekitar.

Ia adalah persoalan tentang kesihatan awam, ekonomi, pendidikan dan keselamatan masyarakat.

Kita perlu bertanya siapa yang membakar, mengapa pembakaran masih menjadi pilihan, bagaimana tanah dan konsesi diuruskan, sejauh mana penguatkuasaan dilaksanakan dan siapa yang memperoleh manfaat ekonomi daripada aktiviti yang akhirnya menyebabkan kos kesihatan dan sosial ditanggung oleh jutaan penduduk di negara lain. Prinsipnya mudah, pencemar perlu bertanggungjawab terhadap pencemaran yang dihasilkan.

Dalam konteks rentas sempadan, prinsip ini memang lebih sukar dilaksanakan. Namun, kesukaran tersebut tidak seharusnya menjadi alasan untuk menerima jerebu sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

TINDAKAN
Jika terdapat risiko pencemaran udara yang serius dalam tempoh beberapa hari akan datang, apakah persediaan yang perlu dimulakan? Bilakah sekolah perlu mula mempertimbangkan perubahan aktiviti luar? Bilakah hospital dan klinik perlu meningkatkan kesiapsiagaan? Bilakah majikan perlu menyusun semula tugasan pekerja yang banyak berada di luar? Bilakah kumpulan rentan perlu mula mengurangkan pendedahan?

Inilah yang disebut sebagai pendekatan forecast-to-action, iaitu ramalan tidak berhenti sebagai maklumat tetapi diterjemahkan kepada keputusan. Dalam konteks ini, Model Kualiti Udara Pelbagai Skala Komuniti Malaysia (MyCMAQ) perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai salah satu input kepada keputusan awal.

RAMALAN JEREBU
Ramalan risiko jerebu bukan sekadar memberitahu bahawa sesuatu kawasan mungkin berjerebu, tetapi menyatakan tahap risiko, tempoh jangkaan, kemungkinan kesan dan tindakan yang disyorkan.

Misalnya, apabila kebarangkalian tinggi berlakunya pencemaran serius dalam tempoh tertentu, maklumat tersebut boleh dipadankan dengan tahap kesiapsiagaan yang telah ditetapkan.

Rakyat akhirnya mahu mengetahui empat perkara mudah: Apa yang akan berlaku? Di mana? Bila? Apa yang perlu saya lakukan?

IPU MERAH
Masalah akan timbul sekiranya tindakan hanya bergantung kepada keadaan selepas indeks pencemaran udara (IPU) mencapai tahap tertentu, sedangkan petunjuk risiko sudah kelihatan lebih awal.

Perkembangan teknologi ramalan memberi peluang untuk kita bertanya satu soalan tambahan – Bolehkah sebahagian persediaan dimulakan berdasarkan risiko yang diramal sebelum IPU mencapai tahap pencetus tindakan?

Bukan untuk mengisytiharkan darurat berdasarkan ramalan. Bukan juga untuk menutup sekolah hanya kerana kemungkinan berlakunya jerebu. Tetapi untuk bersedia lebih awal.

Sekolah boleh menyediakan pelan alternatif. Fasiliti kesihatan boleh membuat persediaan. Pihak berkuasa tempatan boleh meningkatkan pemantauan pembakaran terbuka. Agensi berkaitan boleh menyemak semula tahap kesiapsiagaan.

Masyarakat pula boleh menerima nasihat kesihatan lebih awal.

Tidak semua tindakan perlu menunggu IPU mencapai 200, 300 atau 500. Ada perbezaan antara tindakan pencegahan dan tindakan kecemasan.

Tetapi persediaan boleh bermula lebih awal. Itulah nilai sebenar ramalan.

MEMADAM KEBAKARAN
Penyelesaian jangka panjang tetap memerlukan tindakan terhadap punca. Jerebu rentas sempadan memerlukan kerjasama Malaysia, Indonesia dan negara ASEAN lain dalam pencegahan kebakaran, pengurusan tanah dan gambut, pemantauan kawasan konsesi, perkongsian data serta penguatkuasaan. Ini bukan soal mencari negara untuk dipersalahkan.

Selepas lebih dua dekad Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, rakyat berhak mengharapkan hasil yang boleh dirasakan. Ukurannya mudah: Kurang kebakaran. Kurang asap. Kurang jerebu.

JANGAN TUNGGU HUJAN
Ada kecenderungan apabila jerebu reda selepas hujan atau perubahan arah angin, perhatian masyarakat terhadap isu ini turut berkurang. Itulah kesilapan yang perlu dielakkan kali ini.

Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) dalam unjuran terkini bagi September hingga November 2026 menjangkakan El Nino yang kuat dan kebarangkalian hujan di bawah normal di sebahagian besar rantau benua maritim.

Keadaan ini boleh mewujudkan tempoh kering yang lebih panjang dan meningkatkan risiko kebakaran serta jerebu rentas sempadan.

Malah, ASMC masih melaporkan asap sederhana hingga tebal di beberapa bahagian Semenanjung Malaysia dan utara Borneo serta risiko berterusan berlakunya jerebu rentas sempadan yang teruk. Ini bermakna tamatnya darurat di Serian tidak boleh dianggap sebagai noktah. Ia mungkin hanya satu kelegaan sementara.

ASEAN PERLU BERTINDAK
Jerebu rentas sempadan tidak mungkin diselesaikan oleh Malaysia bersendirian. ASEAN sudah mempunyai perjanjian sebagai mekanisme kerjasama serantau.

Indonesia juga menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan negara ASEAN melalui mekanisme tersebut dalam menangani keadaan semasa.

Namun selepas bertahun-tahun menghadapi masalah yang sama, ukuran sebenar kejayaan bukanlah berapa banyak mesyuarat yang diadakan atau berapa banyak kenyataan bersama dikeluarkan. Ukuran kejayaan ialah berapa banyak kebakaran dapat dicegah sebelum asap menyeberangi sempadan.

Kerjasama serantau perlu lebih menekankan perkongsian data masa nyata, pengesanan awal, ketelusan maklumat mengenai lokasi kebakaran dan pemegang konsesi, penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka serta tindakan pantas apabila risiko jerebu rentas sempadan mula dikesan.

Kita juga perlu membina sistem tindak balas yang tidak hanya diaktifkan apabila IPU sudah mencapai tahap sangat tidak sihat atau berbahaya.

KESIAPSIAGAAN
Jika ramalan menunjukkan risiko meningkat, persediaan meningkat. Jika bacaan sebenar mengesahkan keadaan semakin buruk, tindakan turut ditingkatkan.

Apabila risiko menjadi kritikal, mekanisme kecemasan mengambil alih. Itulah sistem yang bersifat prediktif tetapi masih berpaksikan bukti. Jangan kita hanya bertanya: “Berapa IPU sekarang?”

Kita perlu menambah satu lagi soalan: “Apa yang sudah kita ketahui lebih awal dan apakah tindakan yang telah kita ambil berdasarkan maklumat itu?” Malaysia sudah mempunyai keupayaan untuk melihat ke hadapan.

Cabaran kita sekarang ialah memastikan setiap jam amaran awal benar-benar menjadi satu jam tambahan untuk bersedia. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Azman Azid ialah Pakar Kualiti Udara dan Alam Sekitar, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×