SEPANG: Polis mengesahkan seorang lelaki warga Bangladesh yang tular kerana berkelakuan agresif dan mengganggu penumpang di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu lalu dipercayai kurang siuman.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.40 petang ketika lelaki berusia 26 tahun itu berada di kaunter sebuah syarikat penerbangan di Terminal 1 KLIA.
Beliau berkata, lelaki terbabit dilaporkan bertindak menjerit dengan nada tinggi serta mengganggu penumpang yang berada di sekitar kawasan berkenaan.
“Pihak kawalan keselamatan terminal yang berada di lokasi segera mengambil tindakan bagi menenangkan keadaan sebelum membawa lelaki itu ke Balai Polis Terminal 1 untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki warga Bangladesh berumur 26 tahun yang dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke Bangladesh pada hari kejadian pada pukul 10.20 malam.
“Semasa tempoh bertenang, suspek dilihat tidak dapat mengawal diri dan bertindak agresif,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan lanjut sebelum ditempatkan di Wad Psikiatrik hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan.
Ravi berkata, pihak kedutaan Bangladesh turut dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakaman video memaparkan seorang lelaki warga asing bertindak agresif dan mencetuskan kekecohan di kawasan terminal sehingga menarik perhatian orang ramai. – UTUSAN











