Pemandu Audi tertidur sebelum pandu lawan arus - Utusan Malaysia

Pemandu Audi tertidur sebelum pandu lawan arus

ANGGOTA polis bertingkat menahan sebuah kereta jenis Audi yang dipandu melawan arus di Jalan Jim Quee, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemandu kenderaan jenis Audi dipercayai tertidur ketika sedang memandu sebelum kenderaan itu bergerak melawan arus di Jalan Jim Quee, di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Ng Swie Chait berkata, pihaknya mengesan video kejadian yang tular di Facebook itu pada pukul 10.06 malam.

Katanya, kejadian itu berlaku pada pukul 6.50 pagi selepas lelaki yang bekerja sebagai pelayan restoran di sebuah pusat beli belah di sini dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Taman Mount Austin.

“Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai tertidur ketika berada di dalam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Tanjung Puteri. Anggota polis berhampiran kemudian menghampiri kenderaan berkenaan dan mengetuk tingkap bagi mendapatkan perhatian pemandu.

“Tindakan itu menyebabkan pemandu terbabit tersedar dan berada dalam keadaan cemas sebelum mula memandu secara perlahan-lahan ke hadapan. Kenderaan terbabit kemudiannya didapati bergerak melawan arus ke arah Jalan Jim Quee,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Swie Chait berkata, hasil ujian saringan alkohol melalui pernafasan terhadap pemandu itu mendapati keputusannya negatif.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengabaikan isyarat lalu lintas. Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan keadaan diri cergas dan selamat sebelum memandu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×