TANAH MERAH: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 290 batang kayu hutan tidak bercukai dan menyita pelbagai peralatan termasuk jentera berat lebih RM1.4 juta selepas menyerbu sebuah di Kampung Bukit Kecil, di sini semalam.
Serbuan pukul 2 petang itu dilakukan menerusi Taring Wawasan Kelantan berdasarkan maklumat risikan turut menahan empat individu yang bekerja di kilang berkenaan masing-masing berusia 26 hingga 45 tahun.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa serbuan pihaknya mendapati seorang lelaki didapati sedang mengendalikan jentera berat membawa muatan kayu ke kawasan mesin.
Katanya, tiga lagi individu lain sedang memotong kayu menggunakan mesin berkenaan.
“Pemeriksaan dan soal siasat mendapati seorang daripada mereka, individu berusia 27 tahun, mengaku sebagai kerani kilang tersebut.
Dia turut menyerahkan salinan Perakuan Industri Berasas Kayu yang sah dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan kilang kemudian menemukan 290 batang kayu hutan pelbagai saiz dan spesies. Bagaimanapun, kerani berkenaan gagal mengemukakan sebarang permit pemindahan kayu daripada Jabatan Perhutanan selepas diminta berbuat dmeikian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, pemeriksaan lanjut dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Tanah Merah mendapati kayu-kayu yang terdapat di kawasan kilang dipercayai tidak bercukai.
Katanya, kesemua penama dan barang kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Jajahan Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
“Siasatan awal mendapati bekalan kayu hutan yang diproses di kilang tersebut diperoleh daripada penduduk setempat.
“Kayu yang siap diproses kemudiannya dibekalkan kepada beberapa kilang penghasilan palet kayu di sekitar Kelantan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan palet dan produk berasaskan kayu,” ujarnya.-UTUSAN











