Piala FA: Selangor selangkah ke separuh akhir, belasah Star City - Utusan Malaysia

Piala FA: Selangor selangkah ke separuh akhir, belasah Star City

PENYERANG Selangor, Chrigor Flores Moraes menanduk bola ke gawang Star City FC bagi menyamakan kedudukan 1-1 pada perlawanan Suku Akhir Pertama Piala FA 2026/2027 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis malam tadi.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selangor FC bangkit daripada ketinggalan untuk membelasah Star City FC 4-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, malam tadi.

Kemenangan bergaya itu sekali gus membantu Selangor membawa bekalan selesa dalam aksi timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 11 Oktober depan.

Skuad Gergasi Merah kendalian jurulatih, Kim Pan Gon dikejutkan dengan gol awal tuan rumah oleh pemain tengah, Moses Atede Jona Atuluk pada minit ke-17.

Tersentak dengan jaringan tersebut, barisan serangan Selangor menggandakan asakan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Chrigor Flores Moraes pada minit ke-20.

Gandingan di barisan serangan oleh Chrigor, Vitor Pernambuco dan kapten, Faisal Halim terus menekan pertahanan Star City bagi memburu gol pendahuluan.

Selangor memastikan mereka mendahului 2-1 sebelum berakhir babak pertama menerusi jaringan Jose Vitor Rodrigues Da Silva Dos Santos pada minit ke-43.

Asakan berterusan Selangor pada babak kedua membuahkan hasil apabila Chrigor berjaya menewaskan penjaga gol Star City, Farhan Abdul Majid untuk gol ketiga pada minit ke-60.

Chrigor Flores Moraes meraikan jaringan gol penyamaan ketika perlawanan suku akhir pertama Piala FA menentang Star City FC di Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis malam tadi.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Kelebihan dua gol dimiliki Selangor itu mendorong Pan Gon memasukkan A. Selvan, Peter Makrillos dan Mukhairi Ajmal sebagai pemain gantian.

Chrigor terus mempamerkan aksi cemerlang apabila melengkapkan hatriknya dengan meledak gol keempat pada minit ke-87.

Keputusan 4-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Selangor sebelum ini mengesahkan slot ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan pasukan Sabah FC 4-3 secara agregat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×