Muhyiddin akui Bersatu tidak boleh bergerak solo

Muhyiddin akui Bersatu tidak boleh bergerak solo

MUHYIDDIN Yassin bersama kepimpinan Bersatu pada Sambutan Ulangtahun ke-10 Bersatu di Dewan Sivik MBPJ, malam ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh bergerak secara solo terutama pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti tersebut perlu bergerak dalam sebuah gabungan demi survival dan masa depan dalam arena politik di negara ini.

“Apapun langkah yang kita ambil, ianya mestilah berlandaskan prinsip perjuangan parti dan kepentingan parti.

“Hampir semua yang memberikan pandangan kepada saya mengatakan bahawa Bersatu tidak boleh bergerak solo. Ya, saya bersetuju dengan pandangan ini,” katanya berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Bersatu ke-10 di sini malam ini.

Muhyiddin berkata, pemilihan rakan gabungan perlu dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan termasuk hormat menghormati selain menghargai sumbangan Bersatu.

Selain itu katanya, parti yang membentuk kerjasama perlu mempunyai prinsip dan cita-cita perjuangan yang selari dengan Bersatu.

Beliau berkata, prinsip utama Bersatu adalah untuk mewujudkan negara yang maju, makmur dan bebas daripada amalan kleptokrasi.

“Banyak yang nak melambai hampir melamar Bersatu. Macam anak dara sunti yang ditinggalkan,” katanya.

Muhyiddin berkata, Bersatu juga terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain yang menerima dan menghormati prinsip asas perjuangan parti itu.

“Sebagai sebuah parti perjuangan, Bersatu tidak akan sekali-kali menggadaikan prinsip perjuangannya semata-mata untuk mendapatkan laba dan kuasa,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Bersatu sudah mengadakan perbincangan awal dengan  Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)  bagi merintis kerjasama pilihan raya.

Beliau berkata, manakala parti Putra turut memberi isyarat secara prinsipnya terbuka untuk bekerjasama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×