Bersatu sedia ambil alih PN

Bersatu sedia ambil alih PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia mengambil alih sepenuhnya kepimpinan Perikatan Nasional (PN) sekiranya Pas membuat keputusan meninggalkan gabungan tersebut demi membentuk kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Afif Bahardin berkata, partinya tidak gentar atau bergantung semata-mata kepada Pas, memandangkan asas penubuhan PN sejak awal diterajui oleh Bersatu.

Katanya, hala tuju politik tanah air kini semakin jelas selepas BN memperlihatkan hasrat parti tersebut untuk berpakat hanya dengan Pas tanpa melibatkan parti komponen PN yang lain.

“Kalau betul Pas mahu keluar daripada Perikatan Nasional untuk bersama dengan UMNO, keluar sahaja. Bersatu bersedia untuk mengambil alih kepimpinan PN.

“BN bukan nak bergabung dengan Perikatan Nasional pun, mereka hanya mahu Pas. Sebab itu kalau dilihat, tiada jemputan kepada pimpinan parti politik di bawah PN yang lain masa Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Tiada wakil Bersatu, Wawasan dan Pejuang.

“Jangan lupa bukan Pas sahaja yang ada di bawah PN,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai gabungan kerjasama PN dan BN, beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan dalam PN mesti dibuat secara kolektif dan melibatkan semua parti gabungan.

Jelasnya, tunjang dan asas penubuhan PN pada peringkat awalnya diterajui oleh Bersatu, justeru sebarang keputusan besar yang melibatkan gabungan itu mesti dibuat secara kolektif berlandaskan perlembagaan parti, bukannya keputusan sebelah pihak.

“PN adalah sebuah gabungan kolektif. Bila masa Bersatu mengesahkan PN mahu duduk bersama UMNO?,” soalnya.

Dalam pada itu, Afif berkata, sekiranya Pas berhasrat untuk bersama UMNO dan BN, mereka tidak perlu lagi berselindung di sebalik nama atau logo PN, memandangkan Pas sendiri mempunyai lambang parti yang jauh lebih lama, megah dan kuat di seluruh negara.

“Kalau UMNO kata dia hanya nak Pas mungkin Pas boleh pertimbang untuk tinggalkan PN. Pada kita, Pas rasanya pun tidaklah begitu terdesak hendak pakai logo PN. Pas kan ada logo Pas, logo itu kan lebih lama, lebih megah dan lebih hebat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×