Lelaki aktif samun kedai serbaneka, kedai runcit dicekup

Lelaki aktif samun kedai serbaneka, kedai runcit dicekup

RAKAMAN tular kejadian samun melibatkan seorang lelaki di sekitar Batu Gajah dan Pusing, Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Polis menahan seorang lelaki kerana menyamun dua buah premis perniagaan di sekitar Batu Gajah dan Pusing di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, dalam kejadian pertama di kedai serbaneka 24 jam pada pukul 1.35 petang, suspek berusia 20 tahun itu mengacukan sebilah pisau kepada seorang pekerja wanita.

Katanya, suspek yang memakai topi keledar berwarna kelabu itu kemudian mengambil wang tunai dari mesin juruwang sebelum melarikan diri.

“Kira-kira 40 minit kemudian, suspek dipercayai melakukan samun kedua di sebuah kedai runcit di Jalan Besar Pusing.

“Dalam kejadian itu, lelaki berkenaan turut mengacukan pisau kepada mangsa sebelum mengambil wang tunai dari mesin juruwang dan telefon bimbit jenis Oppo A57 milik mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kedua kira-kira pukul 2.40 petang sebelum anggota Balai Polis Pusing digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, suspek berjaya ditahan di hadapan sebuah kedai kopi di Jalan Besar Pusing hasil maklumat orang awam berhubung penahanan seorang lelaki berhampiran tempat kejadian.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas sebilah pisau, dua telefon bimbit, wang tunai, sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z dan beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Penahanan suspek turut membantu polis menyelesaikan beberapa kes samun di kedai 24 jam dan kedai runcit di sekitar Batu Gajah dan Ipoh,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×