MALAYSIA dan Australia bersetuju meningkatkan taraf perkongsian pertahanan kedua-dua negara menerusi penubuhan Jawatankuasa Perancangan Strategik (SPC) serta pemeteraian Pengaturan Sokongan Logistik Bersama Malaysia-Australia (MLSA) yang diperbaharui.
Persetujuan itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Australia (HLC) Ke-6 yang turut memberi tumpuan kepada peluasan kerjasama dalam pembangunan keupayaan ketenteraan, industri pertahanan, keselamatan maritim dan siber bagi menghadapi cabaran keselamatan serantau.
Mesyuarat yang berlangsung di Geelong, Australia kelmarin itu dipengerusikan bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles sebagai kemuncak lawatan kerja rasmi beliau ke negara berkenaan.
Mohamed Khaled berkata, mesyuarat berkenaan menjadi platform untuk menilai kemajuan kerjasama pertahanan sedia ada, meneroka peluang baharu serta menentukan hala tuju hubungan kedua-dua negara berdasarkan keperluan keselamatan masa hadapan.
“Hubungan dan kerjasama pertahanan Malaysia-Australia telah lama terjalin, merentasi zaman perang dan aman (through war and peacetime) serta terus berkembang menerusi kerjasama dua hala dan pelbagai hala. Teras kepada hubungan yang kukuh ini ialah kepercayaan dan keyakinan bersama yang telah dibina oleh kedua-dua negara sejak sekian lama.
“Dalam landskap keselamatan yang semakin kompleks, hubungan yang telah dibina sekian lama ini perlu terus diperkukuh dan dibawa ke tahap seterusnya, daripada kerjasama kepada kolaborasi yang lebih strategik, substantif dan berorientasikan hasil,” katanya.
Dalam kenyataan bersama selepas HLC ke-6, Mohamed Khaled dan Marles menegaskan komitmen kedua-dua negara terhadap kedaulatan semua negara, undang-undang antarabangsa serta aturan serantau yang meletakkan ASEAN sebagai terasnya, selain menyokong rantau Indo-Pasifik yang terbuka, inklusif dan berdaya tahan.
Antara hasil utama mesyuarat itu ialah persetujuan menubuhkan SPC yang akan bersidang secepat mungkin bagi memacu bidang keutamaan kerjasama pertahanan praktikal serta menyelia pelaksanaan inisiatif yang dipersetujui di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Australia.
“Strategic Planning Committee (SPC) akan menjadi mekanisme penting dalam memastikan setiap inisiatif yang dipersetujui mempunyai hala tuju dan tindakan susulan yang jelas termasuk dalam bidang teknologi serta pembangunan keupayaan pertahanan,” kata Mohamed Khaled.
Selain itu, pemeteraian MLSA yang diperbaharui akan meningkatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Australia untuk bekerjasama dengan lebih berkesan melalui penambahbaikan sokongan logistik serta kebolehoperasian bersama termasuk memudahkan pelaksanaan latihan dan operasi pada masa hadapan.
“MLSA menyediakan asas yang lebih praktikal untuk kedua-dua negara saling memberikan sokongan sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan operasi dan keupayaan untuk bekerjasama dengan lebih berkesan.
“Bagi saya, kepentingannya bukan sekadar pada dokumen yang dimeterai. Ia menunjukkan bagaimana kepercayaan yang telah dibina antara Malaysia dan Australia dapat diterjemahkan kepada sesuatu yang nyata dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.
Dalam pembangunan keupayaan ketenteraan, kedua-dua negara mengalu-alukan perkembangan Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) yang merangkumi Eksesais Keris Strike 2026 di Sabah, peluasan kerjasama maritim dan pasukan khas serta pertambahan peluang pendidikan ketenteraan profesional dan pertukaran anggota.
Dalam aspek keselamatan maritim, kedua-dua menteri menegaskan kepentingan Operasi Gateway yang menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan serantau melalui peningkatan kesedaran domain maritim, selain bersetuju meneroka peluang meningkatkan integrasi dalam operasi berkenaan bagi menyokong kepentingan keselamatan bersama.
Mesyuarat itu turut mengambil maklum kemajuan kerja menaik taraf infrastruktur dan membaik pulih landasan di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini dengan kedua-dua negara bersetuju mengadakan majlis bersama selepas projek berkenaan disiapkan.
Bagi keselamatan maklumat, Malaysia dan Australia mengiktiraf kemajuan yang dicapai ke arah memuktamadkan Pengaturan Keselamatan Maklumat Malaysia-Australia (SIA) serta komited meneruskan usaha bagi menyelesaikannya secepat yang dapat dilaksanakan.
Kerjasama industri pertahanan pula akan diperluas menerusi penerokaan penubuhan Kumpulan Kerja Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan bagi mengenal pasti projek khusus yang memberikan manfaat bersama, selain misi perdagangan industri pertahanan Australia ke Malaysia yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Dalam bidang keselamatan siber, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama praktikal bagi menangani ancaman yang semakin berkembang serta meningkatkan daya tahan siber berikutan kepentingan ruang berkenaan terhadap keselamatan serantau dan operasi pertahanan.
Kedua-dua menteri turut menyuarakan kebimbangan serius terhadap aktiviti siber berniat jahat yang berterusan termasuk kecurian berskala besar menyasarkan bank dan institusi kewangan di Indo-Pasifik oleh pihak yang mendapat sokongan negara bagi membiayai program persenjataan yang menyalahi undang-undang.
Dalam mempersiapkan barisan kepemimpinan pertahanan masa hadapan, kedua-dua negara mengiktiraf kepentingan Program Pemimpin Masa Hadapan Malaysia-Australia yang memberi peluang kepada bakal pemimpin pertahanan bertukar pandangan mengenai cabaran keselamatan serantau dengan edisi seterusnya dijangka berlangsung tahun ini.
Pada peringkat serantau, Malaysia dan Australia menegaskan sokongan terhadap kedudukan ASEAN sebagai teras serta kerangka serantau yang diterajui pertubuhan itu termasuk mengiktiraf peranan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) dalam menggalakkan kerjasama praktikal dan kestabilan serantau.
Kedua-dua negara turut menegaskan komitmen terhadap Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang menyambut ulang tahun ke-55 pada tahun ini, selain mengalu-alukan penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan FPDA (FDMM) dan Eksesais Suman Protector oleh Malaysia pada 2027.
Berhubung perkembangan di Laut China Selatan, kedua-dua menteri menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan berbahaya dan tidak profesional di laut serta udara, selain menegaskan bahawa tuntutan maritim dan sebarang Kod Tatalaku mesti selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).
Kedua-dua negara turut mengakui kepentingan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan serta keperluan komunikasi terbuka, pemberian jaminan yang meyakinkan dan ketelusan bagi mencegah konflik.
Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua menteri mengambil maklum bahawa ujian peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari kapal selam di Laut China Selatan ke Lautan Pasifik baru-baru ini tidak memenuhi jangkaan rantau ini serta menegaskan harapan agar semua rakan serantau mengekalkan tindakan yang selamat dan profesional.
Mengenai konflik di Timur Tengah, Malaysia dan Australia menyokong usaha meredakan ketegangan serta menamatkan konflik secara kekal dengan pemulihan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz dan selat lain di rantau berkenaan dianggap amat penting bagi kestabilan rantaian bekalan antarabangsa serta pasaran tenaga global.
Sebagai kesinambungan hasil HLC ke-6, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan pertemuan berkala peringkat tinggi, memperluas aktiviti antara angkatan tentera serta meningkatkan penyelarasan mengenai isu keselamatan serantau dan global manakala mesyuarat HLC seterusnya dijadualkan berlangsung di Malaysia pada 2027. – UTUSAN











