PETALING JAYA: Pelakon, Aila Azizul, mengakui perjalanan kerjayanya dalam dunia lakonan bergerak agak perlahan tetapi dia tetap terharu apabila dikenali dalam kalangan kanak-kanak menerusi drama Generasi Perfect 10.
Aila Azizul atau Aila Azizul Hisham, 31, berkata, dia tidak menyifatkan perjalanan kerjayanya itu mengecewakan tetapi perlu mengambil masa untuk berkembang sedikit demi sedikit.
“Perkembangan itu agak perlahan setakat ini. Bukanlah teruk, cuma ia memang mengambil sedikit masa,” katanya.
Aila berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengenalan pelakon filem Pemuja Syaitan yang diadakan di 10 Stars Cinema, Hextar World Empire City, Petaling Jaya, pada Selasa.
Meskipun begitu, dia bersyukur kerana tetap berpeluang melangkah setapak demi setapak menerusi pelbagai tawaran lakonan yang diterimanya.
“Saya rasa saya sangat bertuah dapat bersama Generasi Perfect 10 dan Malam Terlarang. Saya dikelilingi pelakon dan kru yang sangat baik.
“Apabila saya masuk Pemuja Syaitan pula, saya sudah tahu apa yang saya mahu buat. Kak Nana (Liyana Jasmay) juga sangat bersemangat kerana itu filem pertamanya, jadi saya berbesar hati dapat membantu menjayakan ‘first baby’ dia,” katanya.
Selain perkembangan kerjaya, Aila mengakui antara perkara paling menyentuh hatinya ialah apabila kanak-kanak berusia sekitar 11 dan 12 tahun mengenalinya.
Katanya, dia pernah disapa beberapa orang kanak-kanak ketika sedang makan di sebuah gerai berhampiran rumahnya yang mengenalinya sebagai pelakon Generasi Perfect 10.
“Ada budak 11, 12 tahun datang cakap, ‘Kakak berlakon Generasi Perfect 10 kan?’ Pernah sekali tengah makan dekat gerai belakang rumah, budak-budak yang perasan sebab tengok cerita itu. Rasa tersentuh sangat.
“Saya bukannya mahu bangga diri tetapi saya sedar mungkin saya menjadi idola kepada mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aila membintangi filem seram Pemuja Syaitan yang juga naskhah layar lebar pertama arahan Liyana Jasmay dan filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 15 Oktober 2026. -UTUSAN











