Jabatan Penjara tunggu surat rasmi sebelum laksana tahanan rumah Najib

Jabatan Penjara tunggu surat rasmi sebelum laksana tahanan rumah Najib

SAIFUDDIN Nasution Ismail (tengah) meninjau lokasi empat kanak-kanak yang ditemukan lemas dalam kejadian di Taman Desa Kayangan, Padang Serai di Kulim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih menunggu surat rasmi Lembaga Pengampunan berhubung keputusan membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman di rumah sebelum sebarang tindakan lanjut diambil Jabatan Penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya setakat ini belum menerima pemakluman rasmi berhubung keputusan berkenaan yang dibuat pada mesyuarat Lembaga Pengampunan, semalam.

Katanya, surat berkenaan penting bagi menjelaskan butiran keputusan serta tindakan yang perlu dilaksanakan Jabatan Penjara mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Di KDN, di mana Jabatan Penjara di bawahnya, pertama kita akan menunggu surat rasmi memaklumkan kepada kita tentang keputusan oleh Lembaga Pengampunan, semalam. Setakat ini kita belum terima apa-apa.

“Daripada pemakluman itu, barulah kita jelas apakah tindakan selanjutnya yang akan kita ambil agar tindakan ke arah melaksanakan keputusan itu sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya selepas melawat keluarga empat kanak-kanak lemas di Taman Desa Kayangan, Padang Serai, hari ini. 

Menurutnya, pemakluman rasmi itu lazimnya disampaikan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri sebelum Jabatan Penjara mengambil tindakan berdasarkan keputusan berkenaan.

Saifuddin berkata, situasi tersebut sama seperti keputusan Lembaga Pengampunan terdahulu yang membawa kepada pengurangan hukuman Najib daripada 12 kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Ditanya lokasi tahanan rumah terhadap Najib, beliau berkata, perkara itu juga bergantung kepada butiran yang terkandung dalam keputusan rasmi Lembaga Pengampunan.

“Kita akan tengok dalam keputusan Lembaga Pengampunan itu sama ada dia tetapkan premis ataupun diserahkan kepada Jabatan Penjara. Sebab itu saya kata saya nak tengok dulu surat itu.

“Tahanan rumah bermaksud beliau tidak berada dalam penjara tetapi akan berada di satu premis lain dan tentu ada proses-prosesnya. Sebab itu untuk lebih selamat dan lebih baik, komen saya adalah (tunggu) sehingga surat pemakluman rasmi (diterima),” katanya.

Saifuddin berkata, pihaknya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan sebelum menerima dokumen rasmi itu kerana ia bukan sahaja memaklumkan keputusan Lembaga Pengampunan.

Malah, ujar beliau, ia boleh menjelaskan sama ada pelaksanaannya terhad kepada keputusan lembaga berkenaan atau terdapat kuasa serta arahan lanjut yang perlu dilaksanakan Jabatan Penjara.

“Jabatan Penjara akan bertindak berdasarkan surat itu, sama ada ia terhad kepada keputusan lembaga ataupun lembaga turut memberi kuasa lagi kepada Jabatan Penjara. Semua itu kami akan teliti,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan, negara ini belum mempunyai undang-undang khusus mengenai tahanan rumah dan cadangan yang dikemukakan sebelum ini untuk memulakan proses menggubal Rang Undang-Undang Tahanan Rumah, khususnya bagi menangani isu kesesakan penjara membabitkan tahanan reman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×