Perekonomian Islam memerlukan komitmen semua - Utusan Malaysia

Perekonomian Islam memerlukan komitmen semua

Bank Negara Malaysia, banyak mengambil inisiatif agar rakyat mempunyai alternatif dalam amalan kewangan harian, khususnya pembiayaan perniagaan dan perusahaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita tidak boleh menafikan negara kita telah memberi sumbangan kepada perkembangan amalan ekonomi Islam sejak beberapa dekad lalu. Institusi seperti perbankan Islam, takaful dan sukuk serta Ar-Rahnu atau perusahaan pajak gadai Islam telah berkembang di negara ini dan membantu perkembangan perniagaan.

Ke arah ini, kerajaan dan agensi-agensi, khususnya Bank Negara Malaysia, banyak mengambil inisiatif agar rakyat mempunyai alternatif dalam amalan kewangan harian, khususnya pembiayaan perniagaan dan perusahaan. Tidak juga ketinggalan manfaat perbankan Islam kepada masyarakat biasa dalam penyimpanan, pembayaran dan transaksi harian.

Namun demikian, jika diteliti lebih lanjut, kebanyakan kegiatan perekonomian Islam di negara kita, dan mungkin di negara lain, masih berpusat kepada aktiviti kewangan dan pembiayaan sahaja. Walaupun begitu, secara kasarnya, sistem ekonomi negara kita juga selaras dengan kehendak ekonomi Islam dalam bidang pengeluaran atau production kerana sebuah negara Islam juga menitikberatkan pengeluaran bahan makanan, pembinaan kemudahan perumahan, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, serta perkhidmatan pertahanan dan keselamatan. Kesemua ini diperlukan oleh sesebuah negara Islam.

Kalau selama ini inisiatif untuk memajukan perekonomian Islam tertumpu kepada bidang di atas, perkembangan selanjutnya memerlukan lebih banyak usaha oleh masyarakat dan individu sendiri untuk memartabatkan ekonomi Islam keseluruhannya.

Sistem ekonomi Barat yang banyak berteraskan sistem kapitalis masih berdepan dengan cabaran untuk mengatasi dua masalah utama sesuatu masyarakat, iaitu masalah kemiskinan dan perbezaan sosioekonomi. Kedua-dua isu ini boleh menyumbang kepada pengasingan sosial atau social conflict, khususnya di negara membangun.

Sistem ekonomi Barat yang mengutamakan tabungan dan pembentukan modal akan mengutamakan peranan faedah atau interest serta keuntungan yang akhirnya boleh mengayakan golongan yang sudah kaya dan mewujudkan perbezaan kedudukan ekonomi yang ketara.

Jika pulangan atau kepada modal sebagai faktor pengeluaran mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi, maka perbezaan ekonomi dan sosial boleh meningkat, seperti yang dibincangkan oleh Thomas Piketty dalam bukunya Capital in the Twenty-First Century.

Dalam konteks sama, pampasan kepada pekerja (Compensation of Employees) di negara kita menyumbang 33.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025, meningkat daripada 33.6 peratus pada tahun 2024.

Sebagai perbandingan, data DOSM bagi 2024 menunjukkan pampasan kepada pekerja menyumbang 48.2 peratus kepada KDNK Korea Selatan dan 37.8 peratus kepada KDNK Singapura.

Ini menunjukkan bahawa bahagian pendapatan yang diterima oleh pekerja dalam struktur pendapatan KDNK Malaysia masih lebih rendah berbanding beberapa negara yang digunakan sebagai perbandingan oleh DOSM.

Perekonomian Islam berpotensi mengurangkan kemiskinan dan jurang perbezaan ekonomi di samping meningkatkan persaudaraan atau ukhuwah. Ini berlaku kerana Islam menggalakkan infaq yang meliputi sedekah, hibah dan wakaf, serta zakat. Zakat merupakan bayaran wajib, manakala yang lain merupakan sumbangan sukarela atau ikhlas.

Islam menggalakkan kita semua berinfaq atau bersedekah kepada ibu bapa, saudara-mara, anak-anak yatim, orang miskin dan pengembara yang dalam kesusahan, seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat 215. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita membantu ibu bapa, saudara terdekat dan orang miskin.

Secara halus, tugas ini bukan sepenuhnya tanggungjawab pihak kerajaan walaupun kerajaan mesti mewujudkan suasana dan iklim di mana kegiatan ekonomi akan berkembang untuk menghapuskan kemiskinan atau mengurangkan perbezaan ekonomi.

Islam sangat menggalakkan infaq atau charity dan Allah juga menyatakan ganjaran yang meluas bagi sesiapa yang melakukan infaq atau sedekah.

Tambahan lagi, Tuhan menyatakan agar kita bersedekah atau berinfaq dengan mengambil jumlah yang berlebihan daripada keperluan daripada pendapatan kita untuk perbelanjaan sendiri, dan bukan jumlah yang kita mahukan. Islam, dari itu, menggalakkan lebihan harta kita untuk tujuan infaq, seperti yang disebut dalam Surah al-Baqarah ayat 219.

Islam juga menggalakkan agar kita berbelanja pada jalan yang baik untuk kepentingan orang ramai, apa yang disebut sebagai ‘qard hasan’ dalam al-Quran.

Dalam Surah al-Baqarah ayat 245, Allah menyebut tentang “pinjaman yang baik” kepada-Nya dan menjanjikan ganjaran yang berlipat ganda. Mungkinkah Allah boleh berhutang kepada manusia?

Sudah tentu tidak. Ia merupakan gambaran tentang ganjaran Allah kepada mereka yang membelanjakan harta pada jalan-Nya.

Inilah bentuk sharing economy dalam perekonomian Islam, di mana individu dan masyarakat digalakkan menggunakan lebihan aset, kekayaan atau pendapatan mereka untuk membantu ibu bapa, saudara yang rapat dan orang miskin, dan bukan untuk mengumpulkan kekayaan demi tujuan peribadi sahaja.

Sebagai bandingannya pula, sistem ekonomi Barat berasaskan lending economy yang berasaskan riba atau caj kadar faedah ke atas pinjaman tidak semestinya mencapai pengagihan ekonomi yang lebih meluas di samping meningkatkan persaudaraan.Saya juga ingin menegaskan bahawa sharing economy ini akan mempercepatkan kitaran wang atau circulation of money dalam ekonomi negara dan seterusnya meningkatkan kesan penggandaan perbelanjaan atau expenditure multiplier.

Dengan demikian, ekonomi berteraskan agama Islam boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Selain kesan positif di atas, struktur perbelanjaan ekonomi berasaskan sharing akan membantu jumlah permintaan (aggregate demand) kerana kumpulan berpendapatan rendah, seperti B40, mempunyai marginal propensity to consume yang tinggi. Jika tambahan pendapatan sampai kepada kumpulan ini, sebahagian besarnya akan dibelanjakan untuk memenuhi keperluan harian, termasuk barangan dan perkhidmatan tempatan.

Dari itu, trend ini boleh membantu perkembangan industri dan perniagaan domestik selain mengurangkan aliran keluar Ringgit.

Dalam keadaan sekarang, semasa kerajaan sedang memikirkan Belanjawan Negara 2027, kita mungkin boleh mencadangkan agar budaya berinfaq atau culture of giving charity dipupuk dan digalakkan sebagai pemangkin kepada perkembangan permintaan dalaman serta industri dalam negeri, berasaskan pertumbuhan sharing economy yang dibantu oleh sistem infaq atau charity, iaitu amalan yang sangat digalakkan dalam perekonomian Islam.

Untuk tujuan ini, peranan perekonomian Islam sepatutlah bergerak lebih luas daripada bidang perbankan dan takaful dengan meneliti bagaimana sistem infaq boleh dimajukan lagi dengan bantuan sistem cukai yang lebih bersesuaian.

Sebagai rumusannya, masyarakat perlu meneliti semula peranan infaq yang sangat digalakkan oleh Allah dan sering dikaitkan dengan peranan solat dalam kehidupan seharian kita semua.

Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob ialah Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×