PETALING JAYA: Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini serta esok bagi membantu mengurangkan kesan jerebu di kawasan berkenaan.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau berkata, pelaksanaan operasi tersebut susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) bagi parameter PM2.5 di kawasan terlibat melebihi 150 untuk tempoh lebih 24 jam berdasarkan bacaan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, operasi berkenaan akan menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM sebagai aset utama bagi pelaksanaan pembenihan awan.
“Operasi itu merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan kesan jerebu dan memperbaiki kualiti udara di kawasan terjejas.
“Pelaksanaan operasi bagaimanapun tertakluk kepada keadaan cuaca dan kewujudan awan yang sesuai bagi proses pembenihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
NADMA bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan situasi jerebu dan keadaan cuaca semasa bagi memastikan tindakan bersesuaian dapat diselaraskan dari semasa ke semasa. – UTUSAN











