KOTA BHARU: UMNO Kelantan menggerakkan kutipan derma di kesemua 14 bahagian negeri itu bagi membantu mengumpul RM50 juta untuk membayar denda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Nor Hariri Mohamed Nor berkata, kutipan berkenaan akan dibuat secara fizikal di semua bahagian selain dibuka menerusi kaedah dalam talian.
Menurutnya, kutipan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang mahu menyumbang secara sukarela sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan Najib.
“Kami dan seluruh kepimpinan beserta ahli UMNO Negeri Kelantan merafak sembah menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Tuanku Baginda mengurniakan tahanan rumah kepada Datuk Seri Najib.
“Justeru, kami akan menggerakkan kutipan ini di seluruh 14 bahagian bagi mencukupkan seberapa segera yang mungkin jumlah RM50 juta untuk dibayar denda sebagai syarat tahanan rumah itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nor Hariri memberitahu, ia merupakan tanda terima kasih terhadap jasa Najib yang menurutnya memberi manfaat kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif ketika menerajui negara.
Katanya, antara inisiatif yang sering dirasai rakyat termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), selain kemudahan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).
“Majoriti daripada kita semua tidak kira bangsa Melayu, Cina, India dan Siam merasai limpahan bantuan bersasar selain harga minyak dan barang keperluan juga terkawal,” katanya.
Nor Hariri berkata, rakyat Kelantan khususnya juga dijangka menerima manfaat daripada perkembangan ekonomi susulan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal 2027.
Katanya, projek berkenaan merupakan perancangan dan idea yang dicetuskan ketika pentadbiran Najib.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat yang ditetapkan. – UTUSAN











