Tiga maut, sembilan cedera kemalangan libatkan 12 motosikal dan tiga kereta

Tiga maut, sembilan cedera kemalangan libatkan 12 motosikal dan tiga kereta

KEADAAN sebuah kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Jelapang-Ampang, Ipoh mengorbankan tiga penunggang motosikal manakala sembilan yang lain cedera dalam kejadian awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga penunggang motosikal maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 pagi itu, dua mangsa lelaki masing-masing berusia 19 dan 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, seorang lagi mangsa lelaki berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, sembilan lagi penunggang motosikal lelaki berusia antara 19 hingga 25 tahun yang cedera dibawa ke HRPB untuk mendapatkan rawatan.

“Ketiga-tiga pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan itu pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Najib berkata, siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terbabit sedang bergerak dari arah Meru menghala ke Tambun sebelum terlibat dalam kemalangan di lokasi kejadian.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca dan urutan sebenar kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengawal kelajuan kenderaan dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×