PETALING JAYA: “Tiada siapa mengatasi undang-undang. Dan tiada siapa mengatasi Perlembagaan.”
Itu penjelasan dan penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak oleh Lembaga Pengampunan.
Menurut Azalina, pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan tidak wajar digambarkan sebagai tindakan `mengatasi undang-undang.’
Beliau berkata, kuasa pengampunan bukan kuasa di luar undang-undang, sebaliknya diperuntukkan secara nyata menerusi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, peruntukan itu memberikan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong serta menetapkan kerangka Lembaga Pengampunan.
“Prinsip kedaulatan undang-undang tidak pernah dipertikaikan. Tiada individu, kerajaan atau institusi berada di atas undang-undang.
“Namun, Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara dan semua pihak juga tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu susulan kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan, tiada sesiapa mengatasi undang-undang dan individu yang disabitkan kesalahan perlu menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Majlis Presiden PH turut menyatakan pendirian teguh bersama Perdana Menteri serta nasihat Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) kepada Lembaga Pengampunan.
Menurut Azalina, keputusan kehakiman dan proses pengampunan merupakan dua perkara berbeza kerana mahkamah menjalankan fungsi kehakiman dalam menentukan kesalahan dan hukuman.
Katanya, Perkara 42 pula menyediakan mekanisme perlembagaan berhubung pengampunan, penundaan hukuman atau kelegaan hukuman.
“Kewujudan kuasa pengampunan dalam Perlembagaan tidak bermakna keputusan mahkamah diketepikan atau seseorang individu berada di atas undang-undang,” katanya.
Menurut Azalina, setiap institusi mesti bertindak dalam ruang kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan.
Katanya, peranan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan menteri berkaitan perlu dilihat berdasarkan peruntukan Perkara 42 serta prosedur yang ditetapkan, bukannya melalui tafsiran atau persepsi politik.
“Sebarang persoalan mengenai kesahan, kesan undang-undang atau proses sesuatu tindakan hendaklah dinilai berdasarkan teks Perlembagaan, fakta dan proses sebenar, bukan sekadar kenyataan politik.
“Hormati keputusan mahkamah. Hormati Perlembagaan. Hormati proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN











