Penyokong Reds kena bagi Iraola masa

Penyokong Reds kena bagi Iraola masa

Andoni Iraola
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Penyokong Liverpool diminta memberi ruang dan masa kepada Andoni Iraola untuk membentuk identiti baharu pasukan The Reds.

Kemampuan Iraola mula dipersoalkan berikutan keputusan tidak konsisten dicatat Liverpool pada awal musim.

Bekas pemain tengah The Reds, Danny Murphy tampil mempertahankan Iraola dan menjelaskan bahawa Liverpool sedang melalui proses penyesuaian yang tidak mudah selepas mengambil alih tugas di Anfield.

Tegasnya, masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap kemampuan jurulatih dari Sepanyol itu.

Walaupun belum tewas dalam enam perlawanan setakat ini, Liverpool tercicir mata selepas seri dengan Newcastle United, Nottingham Forest dan Fulham dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Menurut Murphy, perubahan corak permainan yang lebih agresif dan menyerang sememangnya memerlukan masa untuk diterapkan sepenuhnya, terutama apabila Iraola turut berdepan cabaran mengintegrasikan pemain baharu serta mengurus pemain yang kembali lewat selepas tugasan antarabangsa.

“Saya fikir ia sentiasa mengambil sedikit masa. Lebih lagi jika seseorang pengendali mempunyai corak permainan berbeza dan perlu menyampaikan mesej di padang latihan setiap hari, terutama apabila anda membawa masuk pemain baharu dan ada pemain yang pulang lewat daripada Piala Dunia.

“Keseluruhan pramusim tidak dilalui bersama kumpulan pemain, jadi sedikit masa dan kesabaran diperlukan untuk melihat kesan daripada apa yang cuba dilakukannya.

“Saya fikir mereka sudah bergelut sedikit dari segi pertahanan pada beberapa ketika musim ini. Itu boleh berlaku apabila anda cuba menjadi pasukan lebih positif dan menyerang kerana anda memberikan lebih banyak ruang serta mudah terdedah,” katanya.

Liverpool bagaimanapun tetap mempamerkan potensi besar apabila meraih kemenangan meyakinkan ke atas Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara dan Tottenham Hotspur dalam saingan Piala Carabao.

“Jadi penyokong perlu menerima keadaan itu buat sementara waktu kerana penyokong juga yang paling kecewa dengan (Arne) Slot yang lebih pragmatik musim lalu dan tidak memainkan corak bola sepak yang mereka mahu tonton.

“Jadi anda perlu memberikan masa kepadanya untuk menerapkan corak itu dan membenarkan kesilapan berlaku,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×