MANCHESTER: Pemain remaja, Floyd Samba mempamerkan aksi luar biasa ketika Manchester City membelasah Norwich City 5-0 dalam aksi Piala Liga, semalam.
Pemain berusia 17 tahun itu menjaringkan dua gol dalam aksi berkenaan, sekali gus membawa skuad kendalian Enzo Maresca ke pusingan 16 terkahir.
Samba adalah antara 10 perubahan dilakukan Maresca terhadap kesebelasan utama yang menewaskan Manchester United dalam aksi derbi dramatik dengan 10 pemain pada Ahad lalu.
“Untuk membuat penampilan sulung seperti ini memang sukar dipercayai. Saya sendiri tidak mempercayainya. Tetapi ini baru permulaan, saya mempunyai karier yang panjang. Ia adalah penampilan sulung yang hebat,” kata Samba.
Pemain Brazil, Allan, turut menjaringkan gol pada penampilan pertamanya sejak menyertai City dari Palmeiras, manakala Rayan Cherki menyempurnakan peluang untuk gol kedua City.
Norwich turut melakukan sembilan perubahan dengan tumpuan mereka terarah kepada usaha naik ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dari Liga Kejuaraan dan mereka langsung tidak mampu menyaingi City yang menurunkan barisan kedua.
Samba memastikan penampilan sulungnya menjadi kenangan manis apabila menanduk masuk hantaran lintang Allan selepas Daniel Grimshaw gagal menangkap bola dengan kemas.
Ayyoub Bouaddi membuat penampilan pertama di Etihad sebagai pemain utama selepas menyertai City dari Lille dengan nilai 100 juta pound (RM470.3 juta), dan dia terus mencipta impak apabila melakukan hantaran untuk Cherki meluru masuk sebelum menewaskan Grimshaw yang cuba keluar dari gawang.
Di sebalik pembelian besar City membabitkan Bouaddi, Enzo Fernandez, Elliott Anderson dan Iliman Ndiaye, perpindahan Allan agak kurang mendapat perhatian.
Namun, dia menunjukkan potensinya menerusi larian individu menarik sebelum melepaskan rembatan yang menerjah penjuru gawang pada minit ke-48.
Hanya beberapa ketika kemudian, Samba mengambil kesempatan daripada kelekaan pertahanan Norwich sekali lagi sebelum melakukan rembatan lencong yang cantik untuk gol keduanya.
Seorang lagi pemain muda berbakat City, Ryan McAidoo, melengkapkan pesta gol apabila tenang menyudahkan peluang pada penghujung perlawanan.
Kemenangan itu meneruskan permulaan sempurna Maresca sebagai pengganti Pep Guardiola di City dengan enam kemenangan berturut-turut dalam tiga pertandingan.- AGENSI











