ARAU: Kerajaan perlu menyerahkan ‘kuasa’ kepada pesawah untuk mendapatkan sendiri input-input pertanian mereka menerusi subsidi yang diberi tanpa melalui sistem vendor ataupun pembekal berkaitan.
Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, jika sistem pembekalan baja dan racun bersubsidi masih lagi bergantung kepada pembekal yang dilantik ia akan memberi kesan kepada pesawah sekiranya berlaku masalah bekalan seperti dihadapi sekarang.
“Kalau kerajaan benar-benar mahu memutuskan ruang ketirisan, beri kuasa membeli kepada pesawah. Kreditkan subsidi terus kepada pesawah dan biarkan pesawah memilih baja, racun dan benih yang memenuhi spesifikasi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) meminta kerajaan menyalurkan subsidi input pertanian terutama baja dan racun terus kepada mereka melalui MyKad seperti mekanisme Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Kaedah itu diyakini mampu mengatasi masalah kelewatan dan kualiti bekalan yang menghantui pesawah setiap musim, selain sudah terbukti berkesan daripada sebarang ketirisan.
Melalui MyKad, pesawah hanya boleh membeli barangan yang ditetapkan dan tidak boleh ditukar kepada tunai atau barang lain.
Mohd. Shazwan turut menyokong cadangan supaya subsidi baja, racun, benih dan input pertanian disalurkan terus kepada pesawah melalui MyKad seperti mekanisme SARA.
Katanya, sudah cukup pesawah menjadi pihak yang paling lama menunggu dan akhirnya terpaksa menerima apa sahaja yang sampai jika berlalu sebarang isu kelewatan.
Selain itu, beliau juga mencadangkan kerajaan memberi keutamaan kepada syarikat bumiputera yang benar-benar berkelayakan dan berkemampuan berdasarkan kemampuan kewangan, stok, logistik, kualiti dan rekod baik.
“Antara perkara lain paling penting, tetapkan harga siling. Jangan subsidi diberikan kepada pesawah tetapi harga barang pula dinaikkan sehingga nilai subsidi akhirnya dinikmati pembekal,” katanya. – UTUSAN











