KAJANG: Ketiadaan akta khusus berkaitan tahanan rumah menimbulkan persoalan mengenai mekanisme pelaksanaan keputusan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini dibenarkan menjalani baki hukuman di rumah.
Sumber memaklumkan kepada Utusan Malaysia bahawa pelaksanaan tahanan rumah bagi Najib mungkin mempunyai persamaan dengan mekanisme parol.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada boleh digunakan atau perlu diwujudkan satu SOP khusus.
“Memang tiada lagi akta tahanan rumah. Mungkin akan wujudkan SOP khusus untuk beliau,” kata sumber itu.
Najib kini mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan.
Terdahulu, Jabatan Penjara Malaysia akan mengeluarkan satu kenyataan dalam masa terdekat susulan pengampunan bersyarat dengan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Difahamkan kenyataan media itu akan dikeluarkan bagi menjelaskan perincian lanjut berhubung perkara itu.
Sehingga pukul 6.30 petang, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Jabatan Penjara.
Sementara itu, tinjauan mendapati tiada lagi tanda pergerakan keluar Najib dari Penjara Kajang.
Suasana kelihatan tenang dan terkawal sejak pagi biar pun di peringkat awal terdapat desas-desus isu tahanan rumah itu.
Sejak pukul 10 pagi petugas media tempatan mula tiba di sekitar luar pekarangan pintu masuk utama penjara bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung perkara tersebut. – UTUSAN











