PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan meletakkan sasaran final buat Harimau Malaya pada Piala ASEAN FIFA 2027 di Jakarta, Indonesia, yang akan bermula 25 September hingga 5 Oktober ini.
Ab Ghani yang baru dipilih sebagai Presiden FAM berkata, beliau percaya barisan terbaik yang dimiliki negara ketika ini mampu memberikan cabaran dalam kejohanan sulung yang diperkenalkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu.
“Sejak dulu lagi, kalau kita masuk kejohanan itu kita hendak yang terbaik untuk standard. Samalah seperti hari ini, esok lusa Piala ASEAN. Kita hendak negara kita, Harimau Malaya berjaya setidak-tidaknya dapat masuk ke final.
“Tapi kita kena maklum jugalah, jangan kita bergantung harapan terlampau tinggi sebab bola ini biasalah, kalah menang. Apa pun yang kita buat, kita mesti pastikan pasukan kita lakukan yang terbaik.
“Insya-Allah, Alhamdulillah kali ini apa yang dihantar saya nampak di peringkat ASEAN FIFA ini, pemain yang terbaik yang ada di peringkat pasukan kita hari ini.
“Saya yakin dan percaya kita boleh membuat sesuatu permainan dan keputusan baik akan kita perolehi, InsyaAllah,” kata Ab Ghani.
Keyakinan Ab Ghani itu hadir dengan pengumuman senarai nama 23 pemain yang akan membawa cabaran negara ke Piala ASEAN FIFA di mana pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe membariskan skuad terkuat.
Cheng Hoe menyenaraikan barisan yang dilihat lebih berpengalaman dan kompetitif dengan beberapa tonggak utama negara kembali memperkuatkan skuad, termasuk bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi serta penyerang Selangor, Faisal Halim.
Turut mencuri perhatian ialah pemain berdarah kacukan yang beraksi bersama kelab Jepun, Cerezo Osaka, Dion Cools selain tiga muka baharu yang kini tersedia untuk mewakili Malaysia iaitu Bergson da Silva, Manuel Hidalgo dan Brad Tapp.
Bergson dan Hidalgo masing-masing mengisi posisi serangan serta tengah, manakala Tapp menjadi pilihan di bahagian pertahanan bagi menambah pilihan buat Cheng Hoe.
Dengan senarai berkenaan, Malaysia hanya mengekalkan lima pemain daripada skuad Piala ASEAN Julai lalu, sekali gus memperlihatkan perubahan besar dalam usaha membentuk pasukan yang lebih kompetitif bagi kejohanan kali ini.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Singapura dan Bangladesh, dengan hanya juara kumpulan mara ke final yang dijadualkan berlangsung di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 Oktober.
Harimau Malaya akan membuka kempen menentang Bangladesh pada 25 September sebelum berdepan Indonesia tiga hari kemudian, diikuti aksi terakhir kumpulan menentang Singapura pada 1 Oktober.-UTUSAN











