Minggu lalu apabila saya singgah di kawasan rehat dan rawat (RnR) Pagoh, bukit-bukau di sekitar tidak kelihatan. Jerebu teruk. Pasti jerebu menyelubungi Johor hingga ke Singapura dan Batam.
Paling berjerebu adalah pulau Borneo yang meliputi Sarawak, Brunei dan Kalimantan. Ternyata jerebu ini adalah fenomena Nusantara: Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia. Tetapi tidaklah ke semua wilayah Indonesia terjejas. Jakarta dan pulau Jawa tidak mengalami jerebu. Mereka mengalami debu dari enam gunung berapi yang mengeluarkan debunya.
Pusat jerebu terletak di Kalimantan Tengah, Kalimantan Barat dan Kalimantan Selatan akibat kebakaran tanah gambut yang menghasilkan asap hitam dan amat sukar untuk dipadam. Angin meniup asap itu ke utara hingga ke Serian, Sarawak.
Dari Sumatera pula, angin tiup asap ke arah utara yang melintas Selat Melaka memasuki Semenanjung dan Singapura. Di Sumatera ia berpusat di wilayah Riau, Sumatera Selatan dan Jambi, ia merupakan kebakaran hutan dan tanah untuk pertanian
Ukuran Indeks Pencemaran Udara (IPU) jerebu tertinggi adalah di Kalimantan Tengah yang mencapai angka 880. Ia ditingkatkan oleh angin monsun barat daya hingga membawa kepada perisytiharan darurat di Serian, Sarawak dan tahap tidak sihat di Singapura. Di Indonesia saja, dilaporkan lebih 113,000 kes infeksi respiratori.
Faktor cuaca dalam bentuk gabungan kondisi Super El Nino dan Dipole Lautan Hindi mengeringkan tanah gambut dan menambah merebaknya kebakaran.
Keadaan jerebu ini akan mengalami kelegaan apabila hujan turun dengan perubahan monsun ke arah timur laut pada sekitar lewat 2026 atau awal 2027.
Kerjasama dalam kalangan negara ASEAN adalah dalam bentuk Rancangan Tindakan Serantau (RHAP) untuk memantau dan mencegah. Oleh kerana ia digubal pada 1997, ternyata rancangan itu tidak berjaya sepenuhnya kerana bencana jerebu berlaku pada tahun 2005, 2013, 2015 dan 2019.
Pada 2002, negara-negara ASEAN menandatangani Perjanjian bagi Pencemaran Jerebu Antara Sempadan (AATH). Walaupun perjanjian itu bermakna tetapi penguatkuasaannya lemah tanpa mekanisme hukuman rentas sempadan.
Tentulah jerebu berpunca dari Indonesia yang tidak dapat melakukan penguatkuasaan. Singapura telah menggubal Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada 2014 dengan membolehkan mahkamahnya secara sivil atau jenayah menghukum entiti-entiti domestik atau asing yang menyebabkan jerebu teruk ke atas ruang udaranya.
Jadi, mahkamah Singapura boleh menghukum syarikatnya atau asing yang menyebabkan jerebu pada ruang udaranya, walaupun berpunca di Indonesia.
Pada 2023, Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di Jakarta mula beroperasi.
Jerebu paling teruk berlaku pada 1997 dan 1998 melibatkan enam negara dengan kerugian sebanyak AS$9 bilion dari segi ekonomi dan alam sekitar. Pada 2005. Malaysia mengisytiharkan Darurat di bandar-bandar seperti Pelabuhan Klang dan pekan tepi pantai yang menyaksikan IPU mencecah 500.
Pada masa itu ketika saya memandu melalui Jalan Ampang, kereta di depan tidak kelihatan.
Pada 2013, Singapura mencatat angka IPU tertinggi iaitu 491. Pada 2015 pula, dicatatkan sebanyak 1.75 bilion metrik tan karbon dioksida dilepaskan ke udara. Pada 2019, Bank Dunia mencatatkan Indonesia saja kerugian AS$5.2 bilion. Jerebu 1997 dan 2005 dianggap sebagai jerebu mega.
Apakah punca jerebu ini? Ia adalah daripada amalan menebang dan membakar bagi membersihkan hutan secara besar-besaran untuk pembukaan ladang pertanian secara murah bagi penanaman kelapa sawit dan perladangan bagi pembuatan kertas terutama di tanah-tanah gambut kaya karbon yang mudah terbakar di Kalimantan dan Sumatera.
Tetapi kalau setakat amalan itu, ia tidaklah menjadi amat buruk. Dalam tahun 1970-an, suasana jerebu ini ada tetapi tidaklah seburuk apa yang berlaku pada tahun lewat 1990-an dan 2000-an.
Semasa 1970-an, ketika saya bersekolah di Johor, suasana jerebu tidak begitu dirasakan walaupun perbuatan membakar hutan sering dilakukan juga di Sumatera. Maka itu perkataan ‘jerebu’ belum dikenali.
Ia hanya disebut sebagai habuk atau debu dari hutan Sumatera. Tetapi pada masa itu aktiviti pembakaran tidaklah sebanyak sekarang.
Tetapi apa yang memburukkan keadaan adalah cuaca dan iklim. Cuaca kering dan perubahan iklim yang datang bersama pemanasan global memburukkan gejala jerebu. Cuaca yang ekstrem kerana fenomena El Nino pasti menambahkan lagi kesan buruk.
Tentulah jika amalan membakar hutan ini dihentikan lebih-lebih lagi jika tidak melibatkan tanah gambut, maka jerebu dapat dielakkan.
Tetapi siapa yang boleh menghalang usaha memperluaskan perladangan di Kalimantan dan Sumatera? Dorongan ekonomi amat kuat supaya ladang-ladang diluaskan. Ini kerana bukan saja pemerintah Indonesia mahukan pendapatan daripada usaha-usaha itu tetapi rakyat juga memerlukan pendapatan daripada perluasan hutan.
Sememangnya dalam keadaan sekarang sewajarnya tidak ada lagi hutan di kedua-dua pulau itu dimusnahkan. Demi kepentingan alam sekitar dan planet bumi, hutan yang masih ada perlu dipertahankan.
Tetapi rakyat Indonesia memerlukan pendapatan dan hutan itu adalah sumber sara hidup mereka. Tambahan pula, adalah sukar umtuk pemerintah Indonesia hendak mengawal aktiviti pembakaran itu. Lebih-lebih lagi jika terdapat unsur-unsur korupsi.
Fenomena jerebu ini hasil daripada masalah Indonesia tetapi juga isu global dan sistem ekonomi sedia ada. Lebih luas lagi adalah isu perubahan iklim yang puncanya juga bersifat global.
Penggunaan bahan api fosil mendatangkan perubahan iklim. Ia pula didorong oleh sifat sistem kapitalisme sendiri. Maka jerebu adalah hasil daripada faktor-faktor yang manusia enggan tangani.











