MUKADIMAH
Jerebu rentas sempadan menjadi antara isu utama yang kini menguji hubungan Indonesia-Malaysia. Namun Jakarta menegaskan tidak menganggapnya sebagai tekanan dan tetap bimbang dengan keadaan malah usaha menangani kebakaran dan kesannya sedang dipergiat, termasuk menerima bantuan dari Malaysia dan Jepun.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, DATUK RADEN MOHAMMAD IMAN HASCARYA KUSUMO berkata, kerajaan Indonesia mengerahkan pelbagai kekuatan bagi memadamkan kebakaran, selain memberi perhatian serius terhadap kesihatan rakyat yang turut terjejas akibat jerebu.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL, dibantu jurufoto MOHD FARIZWAN HASBULLAH dan juruvideo, MOHD. KAMARUL HASIFI KAMARUDIN, Duta Besar itu turut menyentuh keperluan tenaga kerja Indonesia, isu pekerja Indonesia tanpa dokumen, selain memaklumkan rundingan isu perbatasan Pulau Sebatik kini hampir mencapai tahap akhir.
SEJARAH PANJANG MALAYSIA-INDONESIA
MINGGUAN MALAYSIA: Memasuki tempoh lebih kurang lapan bulan berada di Malaysia, bagaimana Datuk melihat komitmen berterusan kerajaan Indonesia dalam memantapkan serta memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara?
Indonesia dan Malaysia mempunyai sejarah yang panjang, bukan hanya dalam sejarah moden antara kedua bangsa, tetapi sudah dari dahulu kala, bangsa yang saling mengisi daripada segi sejarah dan aktiviti budaya, sosial, sekarang ekonomi dan lain-lain.
Kedua-dua negara mempunyai hubungan yang sudah sangat erat, pada waktu sama juga banyak yang punya keluarga di dua negara ini.
Cuma untuk dalam konteks moden kita melihat hubungan antara kedua negara berdaulat ini sangatlah dekat daripada semua segi sosial, ekonomi, perdagangan, pelaburan dan juga bekalan tenaga kerja. Jadi, banyak sekali hubungan yang sudah baik ini harus kita jaga dan tingkatkan untuk manfaat bagi masyarakat kedua negara.
Apakah sektor tumpuan untuk keperluan tenaga kerja Indonesia di negara ini?
Memang yang paling besar selama ini adalah sektor perladangan, selain sektor industri perkilangan. Jadi, semua kepentingan akan kita tetap utamakan dan tentunya perlindungan itu perlu diberikan kepada seluruh masyarakat Indonesia bukan hanya di sektor pekerjaan sahaja.
1.5 JUTA RAKYAT INDONESIA DI MALAYSIA
Berdasarkan data kedutaan, berapa ramai warga Indonesia yang memilih untuk tinggal dan bekerja di Malaysia?
Mungkin memilih Malaysia sebagai rumah kedua itu kita belum tahu, cuma berdasarkan data rasmi, kita mempunyai sekitar 500,000 rakyat Indonesia yang berdaftar termasuk sebagai pekerja.
Sementara itu, bagi yang tidak berdaftar atau yang tidak berdokumen, kalau kita melihat daripada data di seluruh perwakilan Indonesia sama ada di Tawau, Kota Kinabalu, Kuching, Johor, Pulau Pinang dan juga di Kuala Lumpur, mungkin jumlahnya dua kali ganda daripada yang berdaftar dan berdokumen iaitu sekitar satu juta.
Mungkin jika dicampur antara berdokumen dan tidak berdokumen, jumlah rakyat Indonesia ada sekitar lebih kurang 1.5 juta orang yang berada di Malaysia.
PEKERJA TIDAK DIBAYAR GAJI
Adakah sebarang aduan berkait layanan majikan terhadap pekerja Indonesia?
Ada juga aduan sebegitu. Ada pekerja mengadu tidak dibayar gaji oleh majikan mereka bertahun-tahun.
Ada juga berkaitan perlakuan perjanjian kerja yang tidak sesuai, tempoh masa bekerja yang tidak mematuhi perjanjian kerja terutama meminta bekerja melebihi tempoh masa ditetapkan.
Jadi hal-hal seperti inilah, kita sebagai kedutaan pasti menerima laporan ini dan kita berkoordinasi dengan pihak-pihak berkuasa Malaysia untuk melakukan siasatan lebih lanjut.
Setakat ini kami mendapat kerjasama yang sangat baik daripada pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selain beberapa agensi dan kementerian berkaitan.
70,000 KEPERLUAN PEKERJA INDONESIA
Bagi sektor perladangan yang menjadi antara paling ramai pekerja Indonesia, berapa lagi keperluan untuk mengisi tenaga kerja di sektor ini?
Bagi sektor ini, kedutaan menerima lebih 800 permohonan pelbagai syarikat (job order) yang memerlukan pekerja Indonesia untuk mengisi kerja-kerja ladang. Keperluan untuk pekerja di sektor ini lebih 20,000 orang setahun dan ini permintaan yang kita terima secara berdaftar manakala bagi sektor lain seperti perkhidmatan dan perindustrian, kilang-kilang, terdapat permintaan sehingga 50,000 pekerja.
Kebiasaannya pekerja yang dibawa masuk diberi kontrak dua tahun, dan kemudian mereka akan pulang selepas tamat kontrak dan diganti pekerja lain. Proses ini sentiasa berlaku.
Maka boleh kita katakan untuk sektor-sektor penting ini, keperluan pelerja dari Indonesia sekitar 70,000.
Adakah Indonesia mempunyai kemampuan untuk memenuhi permintaan tenaga kerja tersebut?
Insya-Allah, Indonesia mempunyai kemampuan dan usaha untuk memenuhi keperluan tersebut.
Namun, bagi memastikan penempatan pekerja dilakukan dengan baik dan betul, Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (KP2MI) yang baharu akan melaksanakan proses yang lebih tersusun dan teratur, termasuk daripada segi pencatatan, bancian serta pendataan pekerja migran.
Daripada segi bekalan tenaga kerja, Indonesia juga sedang berusaha untuk meningkatkan kualiti pekerja. Perkara ini menjadi perhatian bersama kerana kemungkinan tidak semua permintaan dapat dipenuhi.
3,000 BERADA DI DEPOH TAHANAN
Setakat ini, berapa ramai pekerja Indonesia tanpa dokumen yang berada di depoh tahanan imigresen dan penjara di Malaysia?
Berdasarkan perbincangan terakhir dengan Jabatan Penjara Malaysia, jumlah yang berada di depoh imigresen dan penjara adalah kira-kira 8,000 orang secara keseluruhan.
Namun begitu, melalui program penghantaran pulang yang dilaksanakan setiap bulan, jumlah tersebut kini telah berkurangan kepada sekitar 3,000 orang sahaja yang berada di semua depoh di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Kami sentiasa bekerjasama dengan JIM dan Jabatan Penjara Malaysia untuk memastikan tahanan dapat dihantar pulang. Dalam usaha ini, kami sentiasa mengutamakan aspek kemanusiaan. Ini bentuk kerjasama dan saling membantu antara Indonesia dan Malaysia, kerana kami juga tidak mahu menambah beban kepada penjara di Malaysia.
Adakah terdapat kes pekerja yang dihantar pulang tetapi kemudiannya datang semula ke Malaysia, ditahan dan dihantar pulang sekali lagi?
Ya, perkara seperti itu memang berlaku. Bagi pekerja tanpa dokumen, mereka biasanya mempunyai pelbagai alasan, antaranya kesukaran mendapatkan pekerjaan di Indonesia dan sebagainya.
Namun, setiap kali proses penghantaran pulang dilakukan, kami mengingatkan mereka supaya tidak kembali ke Malaysia sekiranya mereka telah disenarai hitam. Sebaliknya, kami akan membantu mencari peluang pekerjaan di tempat lain. Mereka juga perlu mempunyai kemahiran dan keupayaan yang lebih baik untuk bekerja di tempat lain.
Oleh itu, kami cuba meningkatkan standard dan kemampuan mereka supaya mereka dapat menjadi pekerja yang lebih berkualiti dan berkemampuan dalam pelbagai bidang.
TINDAKAN TEGAS PEKERJA TANPA DOKUMEN
Apakah langkah yang boleh diambil bagi menangani isu pekerja tanpa dokumen yang masih mendapat pekerjaan di Malaysia?
Kami juga mengharapkan kerajaan Malaysia dapat menyediakan peraturan atau undang-undang yang lebih tegas. Jika majikan mengetahui bahawa seseorang pekerja itu tidak mempunyai dokumen atau permit yang sah, mereka tidak sepatutnya mengambil pekerja tersebut.
Sekiranya majikan melanggar peraturan dengan mengambil pekerja tanpa dokumen, majikan juga perlu dikenakan tindakan atau sanksi.
Perkara ini memerlukan kerjasama kedua-dua negara. Jika majikan mengetahui bahawa mereka boleh mengambil pekerja tanpa dokumen dengan bayaran yang lebih rendah, keadaan ini akan terus berlaku kerana kedua-dua pihak saling memerlukan.
Jadi, kami berharap Malaysia juga dapat mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak mematuhi undang-undang dan masih menggaji pekerja migran tanpa dokumen yang sah.
Di Indonesia, kami juga mula mengambil langkah berkaitan perkara ini. Jika terdapat pekerja tidak dibayar gajinya atau pekerjaan yang diberikan tidak mengikut kontrak yang dipersetujui, perkara tersebut akan direkodkan. Kemungkinan untuk mengenakan tindakan atau sanksi juga sedang dibincangkan dengan pihak imigresen.
Antaranya, terdapat cadangan supaya pihak atau majikan yang berkaitan boleh menjadi subject of interest atau tertakluk kepada tindakan tertentu. Perkara ini masih dalam perbincangan.
Bagaimana Datuk melihat layanan yang diberikan oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap warga Indonesia yang berada di depoh tahanan imigresen? Adakah terdapat isu atau masalah yang timbul?
Setakat ini, tiada sebarang masalah. Kami sentiasa berhubung dengan pihak depoh dan memberikan perkhidmatan konsular kepada warga Indonesia yang ditahan.
Pihak depoh juga sentiasa bertukar maklumat dengan kami. Jika terdapat tangkapan baharu atau perkara lain berlaku, mereka akan memaklumkan kepada kami. Jadi, kerjasama antara kedua-dua pihak sangat baik sehingga kini.
Layanan yang diberikan juga baik. Terus terang, pihak Jabatan Imigresen di depoh sangat mengambil berat dan berperikemanusiaan terhadap tahanan warga Indonesia. Mereka melayan tahanan seolah-olah seperti saudara sendiri.
Perkara ini yang kami rasakan dan kami sentiasa bertanya mengenainya setiap kali proses penghantaran pulang dilakukan pada setiap bulan.
Tiada layanan dua darjat atau pilih kasih. Sebagai contoh, sekiranya seseorang tahanan perlu diuruskan dokumen perjalanan seperti pasport, walaupun lokasinya jauh, pihak berkuasa akan membantu membawanya ke tempat diperlukan dan memastikan urusan itu dapat dilakukan.
ISU LALUAN TIKUS
Isu kemasukan warga Indonesia ke Malaysia melalui laluan tidak sah berlaku sejak sekian lama dan belum dapat diselesaikan. Pada pandangan Datuk, apa punca utama masalah ini?
Jika kita melihat kepada puncanya, ia kembali kepada sifat manusia yang sentiasa mencari peluang untuk bekerja dan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada keluarga.
Dalam banyak keadaan, terdapat juga janji-janji pekerjaan yang diberikan kepada mereka, tetapi belum tentu semuanya dapat dipenuhi. Jadi, inilah yang sedang kami usahakan dari aspek perlindungan pekerja, iaitu memberikan maklumat kepada daerah-daerah di Indonesia yang dikenal pasti mempunyai ramai pekerja yang menggunakan laluan tidak sah untuk masuk ke Malaysia.
Daripada segi bekalan pekerja, kita sudah mengetahui daerah-daerah yang menjadi sumber kepada pekerja tersebut. Oleh itu, kami juga meminta pekerja Indonesia yang telah ditahan dan kemudiannya dihantar pulang supaya berkongsi pengalaman mereka dengan jiran, saudara-mara dan masyarakat di tempat asal.
Mereka perlu menjelaskan sekiranya ingin masuk ke Malaysia untuk bekerja, kemasukan tersebut mesti dilakukan melalui saluran rasmi. Jika masuk melalui saluran tidak sah, mereka berisiko ditahan dan dipenjarakan. Selepas dihantar pulang, mereka juga boleh disenarai hitam dan menghadapi kesukaran untuk kembali bekerja di Malaysia secara sah.
Jadi, kami sentiasa memikirkan bagaimana untuk menghapuskan kitaran ini dan memastikan lebih ramai pekerja didaftarkan sebagai pekerja rasmi. Banyak perkara perlu difikirkan bagi mencegah kitaran yang tidak pernah berakhir ini daripada terus berlaku. Pendidikan juga perlu diberikan lebih meluas di Indonesia.
RASUAH DAN SINDIKET?
Terdapat pandangan isu kemasukan melalui laluan tidak sah juga berkait dengan wang, bayaran kepada pihak tertentu dan kemungkinan kewujudan sindiket. Apakah yang perlu dilakukan untuk menangani perkara ini?
Jika kita bercakap mengenai sindiket, mungkin perkara itu terlalu umum. Apa yang perlu adalah penguatkuasaan di semua peringkat.
Kerjasama perlu diperkukuhkan di kawasan sempadan dan dalam urusan imigresen. Di Malaysia, kerjasama dengan agensi berkaitan seperti APMM juga penting, khususnya dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan di laut.
Kerjasama antara Indonesia dan Malaysia dalam bidang maritim memang sudah wujud, termasuk dari segi rondaan dan penguatkuasaan. Namun, kerjasama tersebut masih perlu dipertingkatkan.
Cabaran utama adalah kawasan laluan yang sangat panjang dan luas, khususnya di Selat Melaka. Oleh itu, usaha untuk menutup semua laluan tidak sah memerlukan kerjasama penguatkuasaan yang berterusan antara kedua-dua negara.
PERBINCANGAN SEMPADAN DI TAHAP AKHIR
Bagaimana pula perkembangan isu perbatasan antara Indonesia dan Malaysia, khususnya di Pulau Sebatik?
Bagi isu Pulau Sebatik, perkara ini telah dibincangkan secara berterusan. Kerajaan kedua-dua negara juga sudah hampir mencapai persetujuan. Kedua-dua pihak sentiasa berpegang kepada semangat dan komitmen pemimpin untuk mencari penyelesaian yang baik bagi kedua-dua negara.
Isu ini merupakan perkara yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa terdahulu. Oleh itu, perkara tersebut perlu terus dibincangkan antara kedua-dua negara. Sehingga kini, semangat kedua-dua pihak adalah untuk mencari penyelesaian yang baik dan dipersetujui bersama demi kepentingan Indonesia dan Malaysia.
JEREBU: FAKTOR ALAM, BUKAN PERKARA DISENGAJA
Malaysia kini mengalami jerebu yang agak teruk hinggakan ada bantahan daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan keadaan ini di hadapan Kedutaan. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?
Keadaan ini tidak berlaku setiap masa. Ia berlaku dalam keadaan tertentu, termasuk ketika fenomena El Nino sekarang dan turut memberi kesan di beberapa kawasan di seluruh dunia. Tahun lalu ia berlaku di Eropah dan tahun ini kita mengalaminya di rantau ini.
Namun, yakinlah kerajaan Indonesia berusaha sedaya upaya menanganinya. Presiden sendiri turun ke lapangan di Sumatera, Aceh dan Kalimantan serta memberikan arahan supaya semua kekuatan dikerahkan. Daripada pihak awam seperti bomba sehinggalah kepada tentera dan polis, semuanya dikerahkan untuk membantu menangani kebakaran.
Di Kalimantan, keadaannya agak berat kerana terdapat kawasan tanah gambut dan di bawahnya terdapat juga batu bara. Dalam keadaan kering, geseran daripada penggunaan jentera seperti ekskavator boleh mencetuskan percikan api. Kebakaran boleh merebak di bawah permukaan tanah gambut. Tanah gambut yang sebelum ini mengandungi air dan apabila terbakar, ia menghasilkan banyak asap.
Dalam usaha menangani keadaan ini, Indonesia juga bekerjasama dengan Jepun dan Malaysia. Jepun telah memberikan bantuan dan Malaysia juga telah menawarkan serta memberikan bantuan, termasuk melalui kaedah pengubahsuaian cuaca atau cloud modification/weather modification.
Jika dilihat sejak beberapa hari kebelakangan ini, pada waktu petang terdapat hujan yang agak lebat dan ribut sebelum keadaan kembali reda. Ini antara usaha dilakukan, walaupun proses itu sukar dan memerlukan keadaan awan yang sesuai.
Kerajaan Indonesia terus berusaha sedaya upaya untuk memadamkan kebakaran. Namun, keadaan ini juga dipengaruhi oleh faktor alam dan bukan sesuatu yang sengaja dilakukan. Insya-Allah, kita akan berusaha untuk mengatasinya.
TINDAKAN TEGAS
Namun, terdapat persoalan mengenai tindakan terhadap pihak yang melakukan pembakaran. Ada pihak meminta supaya tindakan lebih tegas dikenakan. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?
Sudah tentu perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa berkaitan. Kementerian Pertanian Indonesia dan pihak kepolisian akan menjalankan penyelidikan serta siasatan.
Kita biarkan proses tersebut berjalan dan sekiranya didapati terdapat pelanggaran, yakinlah bahawa Presiden akan mengambil tindakan atau mengenakan sanksi terhadap pihak yang terbukti melakukan kesalahan.
Perkara seperti ini sudah berlaku. Sebagai contoh, dalam kes berkaitan kebun kelapa sawit, terdapat syarikat didapati tidak mematuhi lesen dan tindakan diambil terhadap mereka. Begitu juga dengan aktiviti perlombongan haram yang telah ditutup. Presiden Prabowo juga menunjukkan komitmen untuk menegakkan undang-undang dalam pentadbiran Indonesia.
Sudah tentu bukan mudah untuk mengubah sesuatu yang telah berlaku dalam tempoh yang lama. Untuk mengubah kebiasaan dan amalan yang sudah berakar, ia memerlukan kemahuan politik yang sangat kuat.
BANTUAN MALAYSIA DITERIMA
Malaysia juga ada menawarkan bantuan kepada Indonesia dalam menangani isu jerebu ini. Adakah bantuan itu telah digunakan?
Bantuan tersebut sudah diterima. Bantuan berkaitan pengubahsuaian cuaca juga telah berjalan dan sedang dilaksanakan. Cuma pelaksanaannya perlu mengambil kira kawasan perbatasan dan laluan-laluan yang terlibat. Oleh itu, koordinasi antara pihak-pihak berkaitan amat penting.
Setakat yang saya tahu, bantuan dari Jepun dan Malaysia sudah diterima serta sedang berjalan.
MAHU SELESAI MASALAH JEREBU
Adakah isu jerebu ini memberi tekanan kepada Indonesia?
Saya melihat kita tidak perlu menganggapnya sebagai tekanan. Kita sendiri cukup bimbang dengan keadaan ini dan mahu ia diselesaikan secepat mungkin. Isu kesihatan sangat penting. Bukan sahaja kerana kesannya kepada negara lain, kita juga sangat mengambil berat tentang kesihatan rakyat kita sendiri, khususnya di Kalimantan.
Mereka sangat terkesan, terutama kanak-kanak dan warga emas. Banyak yang mengalami masalah kesihatan seperti ISPA, iaitu jangkitan saluran pernafasan akut, dan banyak juga pesakit dirawat di hospital.
Presiden sangat mengambil berat tentang perkara ini. Jika tidak prihatin, beliau tidak akan turun sendiri ke kawasan terjejas melihat keadaan itu. – Mingguan Malaysia











