Polis tingkatkan kawalan keselamatan di Negeri Sembilan

Polis tingkatkan kawalan keselamatan di Negeri Sembilan

ALZAFNY Ahmad ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini. -UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Polis Negeri Sembilan akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan di seluruh negeri susulan perkembangan isu berkaitan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya turut memantau perkembangan isu berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan semua pihak terus terpelihara.

Menurutnya, polis sentiasa memberi perhatian terhadap perkembangan semasa dan mengambil langkah sewajarnya dengan memperketat kawalan keselamatan di setiap kawasan.

“Peranan pihak polis sememangnya adalah untuk memastikan ketenteraman awam dan keselamatan semua pihak.

“Jadi, apabila berlaku perkara ini, kami sentiasa memberikan perhatian malah perhatian yang lebih, dengan memperketatkan kawalan keselamatan di setiap kawasan serta mengikuti perkembangan semasa,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu berkata, orang ramai diminta bersabar serta memberi ruang agar isu berkenaan dapat diselesaikan mengikut landasan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.

“Kani harap rakyat dan masyarakat bersabar dan isu ini dapat diselesaikan mengikut landasan undang-undang, berdasarkan undang-undang serta prosedur yang ada di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Alzafny berkata, pihaknya akan mengumumkan perkembangan lanjut berkaitan perkara itu kelak. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×