PETALING: Hannah Yeoh tidak pernah menandatangani sebarang perintah tahanan rumah seperti yang sedang tular di media sosial.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu, Lembaga Pengampunan juga masih belum bersidang berhubung perkara berkenaan.
“Saya tidak pernah menandatangani perintah tahanan rumah seperti yang sedang tular di media sosial.
“Lembaga Pengampunan masih belum bersidang. Tolong jangan sebarkan dokumen palsu ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Setiausaha Akhbarnya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung penyebaran dokumen terbabit
Terdahulu tular satu surat ditandatangani oleh Hannah.
Kenyataan itu dibuat ketika isu pengampunan Najib kembali menjadi perhatian susulan laporan media bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat semula hari ini hanya seminggu selepas perkara berkenaan ditangguhkan pada mesyuarat 11 September lalu.
Laporan itu turut mendakwa mesyuarat berkenaan hanya mempunyai satu perkara dalam agenda, iaitu permohonan pengampunan Najib.
Pada 11 September lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat akan datang.-UTUSAN










