PETALING JAYA: Proklamasi untuk mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah tidak sah kerana gagal mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Jabatan Peguam Negara berkata, Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 tidak dipatuhi meskipun jelas Dato’ Undang-Undang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan supaya Yang di-Pertuan Besar diturunkan takhta.
Katanya, Proklamasi bertarikh 19 April tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Negeri apabila tiada sebarang keterangan bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hilang kelayakan.
“Walaupun jelas Dato’-Dato’ Undang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan supaya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diturunkan takhta.
“Namun Perkara 10 turut memperuntukkan tatacara dan asas-asas pertimbangan sebelum Dato’-Dato’ Undang boleh membuat keputusan sedemikian.
“Setakat hari ini tiada fakta yang menunjukkan tatacara yang diperuntukkan tersebut telah dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri, diminta untuk meneruskan proses pewartaan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mengikut peraturan sedia ada.
Beliau dalam pada masa sama mengesahkan kenyataan dikeluarkan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri semalam berhubung proklamasi penurunan takhta berkenaan.
Semalam, media melaporkan Mesyuarat Exco Negeri Sembilan dalam kenyataan mengumumkan Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta oleh Undang Yang Empat manakala Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Selain itu, Jabatan Peguam Negara menegaskan terdapat isu di mana ada dalam kalangan Dato’ Undang yang menandatangani Proklamasi tidak lagi memegang jawatan secara sah kerana telah diturunkan oleh adat di luak masing-masing.
Katanya, keabsahan beberapa Undang yang menandatangani Proklamasi tersebut adalah dipertikaikan kerana penurunan mereka telah dilakukan melalui adat di luak masing-masing.
“Oleh itu sebenarnya komposisi Undang Yang Empat adalah tidak lengkap pada masa yang material,” katanya.
Dalam masa yang sama, jabatan ini mengambil maklum undang-undang tubuh negeri yang turut memperuntukkan penubuhan Dewan Undangan dan Keadilan.
“Ia yang mana menurut Perkara 16 UUTKNS 1959, persoalan adat Melayu, termasuk pemilihan, perlantikan, perletakan dan pemecatan jawatan Undang serta apa-apa perkara yang dibawa oleh Yang di-Pertuan Besar, terletak dalam bidang kuasa Dewan.
“Menurut Perkara 16 (3) UUTKNS 1959, nasihat Dewan mengenai persoalan sedemikian adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan,” katanya.
Selain itu, Jabatan Peguam Negara menegaskan sebarang kenyataan oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan tersebut adalah dianggap sebagai tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang.
Katanya, hal ini memandangkan mereka tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman tersebut.
“Juga, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk bersandar kepada Proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi pengumuman mereka.
“Berdasarkan perkara-perkara di atas tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan Proklamasi tersebut adalah menjadi suatu tindakan yang tidak sah kerana tidak berperlembagaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pihak Jabatan Peguam Negara mengambil maklum bahawa perkara berkaitan ini juga
sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Seremban.
Malah katanya, terdapat perintah mahkamah dalam bentuk interlocutory injunksi yang masih berkuat kuasa.
“Justeru, Jabatan ini menyeru semua pihak supaya menghormati proses mahkamah dan membenarkan ia diselesaikan secara teratur,” katanya.-UTUSAN









