Kebakaran hutan Indonesia dijangka berlarutan sehingga awal November
 - Utusan Malaysia

Kebakaran hutan Indonesia dijangka berlarutan sehingga awal November


BEBERAPA orang menaiki bot ketika jerebu tebal di Benua Melayu Darat, Pontianak, Kalimantan kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kebakaran hutan dan tanah di Indonesia dijangka berlarutan sehingga awal November ini berikutan kelewatan musim hujan, kata Menteri Perhutanan Raja Juli Antoni pada Rabu. Beliau turut menggesa pelbagai pihak menghentikan pembakaran terbuka sewaktu musim kemarau panjang.

Indonesia kini sedang ber­depan krisis kebakaran hutan paling kritikal dalam tempoh 11 tahun susulan fenomena cuaca super El Nino yang mengeringkan kawasan hutan dan ladang di seluruh negara berkenaan.

Siri kebakaran telah berlanjutan selama beberapa minggu, terutamanya di kawasan pulau Borneo dan Sumatera, di mana Raja Juli memberi amaran bahawa keadaan cuaca kering yang ekstrem dijangka mencapai kemuncak pada bulan ini sekali gus menyukarkan operasi pemadaman.

Agensi berita rasmi ANTARA memetik Raja Juli sebagai berkata bahawa cuaca kering diramal akan berterusan untuk tempoh sekurang-kurangnya satu setengah bulan lagi.

Beliau memaklumkan bahawa badan meteorologi tempatan telah mengemas kini ramalan bermulanya musim hujan kepada lewat Oktober atau awal November, iaitu sebulan lewat daripada anggaran awal.

“Kebakaran hutan dan tanah ini akan terus berlaku sehingga Oktober atau awal November,” kata Raja Juli seperti yang dilaporkan oleh portal berita Kompas.com.

Beliau turut menegaskan agar semua pihak menghentikan amalan pembakaran terbuka bagi mengelakkan situasi bertambah parah.

“Justeru, kami menggesa orang ramai, petani mahupun pihak korporat agar tidak menggunakan api sewaktu tempoh El Nino yang amat kritikal ini,” katanya.

Impak pelepasan asap berbahaya daripada kebakaran tersebut telah menyebabkan kes pe­nyakit berkaitan pernafasan di tujuh wilayah terjejas melonjak dua kali ganda kepada 113,336 kes dalam tempoh 1 hingga 9 September sahaja dengan penduduk di Kalimantan Barat antara teruk terjejas.

Krisis jerebu rentas sempadan yang terhasil turut menyebabkan kualiti udara merosot ke tahap tidak sihat di negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.

Pihak berkuasa tempatan berkata, mereka mempergiatkan usaha untuk mengawal jerebu, termasuk menerusi operasi pengeboman air dan pembenihan awan.

Indonesia sering berdepan kebakaran hutan dan tanah ketika musim kering yang lazim­nya berlangsung dari Julai hingga Oktober.

Namun, kebakaran tahun ini amat buruk, sebahagiannya disebabkan fenomena El Nino yang kuat dijangka menjadi yang pa­ling kuat sejak rekod seum­pamanya mula direkodkan empat dekad lalu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×