Israel guna AI bantu bunuh penduduk Palestin - Utusan Malaysia

Israel guna AI bantu bunuh penduduk Palestin

BEBERAPA orang melihat sebuah kereta kebal Israel di Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel memperluaskan penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada persenjataan tenteranya di Gaza, Palestin.

Sistem AI digunakan untuk menentukan sasaran bom yang berpotensi, sekali gus menyumbang kepada skala pembunuhan rakyat Palestin di wilayah itu seperti yang didokumentasikan  dalam dokumentari NAZA yang memena­ngi anugerah di Festival Filem Venice, Itali pada Isnin.

Israel bukan sahaja menggunakan AI dalam perang di Gaza. Malah, ia turut menggunakannya di Tebing Barat di mana teknologi itu digunakan secara sistematik untuk meninjau tanah milik rakyat Palestin dan mempercepatkan pengusiran secara paksa, menurut penyelidik serta aktivis hak asasi manusia.

Menurut media Turkiye, PalDigital yang memetik aktivis hak asasi manusia dan laporan media Israel, rejim Zionis menggunakan alat AI. Ia khususnya menggunakan produk dikenali sebagai ImiSight yang dibangunkan pengeluar senjata Israel, Rafael.

Tujuannya adalah  untuk memantau kawasan tanah dan mengesan perubahan yang kemudian boleh digunakan sebagai alasan untuk merobohkan bangunan.

PalDigital melaporkan pada Julai bahawa alat itu pada awalnya digunakan Israel di gurun Naqab, dengan menyasarkan rakyat Israel berketurunan Badwi Palestin. 

Ramai masyarakat Badwi tinggal di kampung yang tidak diiktiraf kerajaan Israel, manakala pihak berkuasa mengeluarkan hanya sedikit permit pembinaan. 

Aktivis-aktivis berkata, tindakan itu bersifat diskriminasi dan bertujuan memaksa masyarakat Badwi berpindah bagi membuka ruang untuk penempatan Yahudi.

Dalam banyak kes, apabila alat itu mengesan perubahan pada landskap yang dianggap sebagai struktur tidak dibenarkan, jentolak dikerahkan ke lokasi berkenaan.

Menurut PalDigital, Israel kini menggunakan alat itu di Tebing Barat di mana rumah rakyat Palestin telah dirobohkan secara berkala selama bertahun-tahun dengan alasan pelanggaran peraturan pembinaan di kawasan yang amat sukar bagi rakyat Pa­lestin mendapatkan permit.

Satu unit penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tanah Israel ditubuhkan pada April 2025 dengan tujuan khusus untuk beroperasi di Tebing Barat yang didudukinya.

Sebuah kumpulan hak asasi Israel, Peace Now menganggpnya sebagai langkah ke arah untuk merampas tanah rakyat Palestin secara paksa. 

Organisasi itu menambah bahawa agensi yang menguruskan hak tanah berkenaan menggunakan alat teknologi canggih berasaskan AI untuk mengesan pencerobohan.

Ketua Dokumentasi dan Penerbitan di Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan, Amir Daoud memberitahu Al Jazeera bahawa penubuhan unit itu merupakan peningkatan tindakan yang dirancang.

“Kita bercakap mengenai pemindahan model pengawasan dan pengusiran yang diuji terhadap rakyat Palestin di Naqab ke wilayah Palestin yang diduduki,” kata Daoud kepada Al Jazeera. 

“Bahaya politik bermula dengan penubuhan sebuah daerah di bawah Pihak Berkuasa Ta­nah Israel untuk beroperasi di Tebing Barat,” tambahnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×